BM | EN | 中文

Dilempar duit baki

zhan-xilu.jpg

Zhan xilu dipenuhi ramai orang membeli barangan

Advertisement

Sebagai orang Melayu yang dididik dengan adat budaya, sudah tentu urusan harian perlu menitik berat tentang kesantunan dalam berhubung. Sudah terbiasa mengucap terima kasih kala menerima bantuan atau barang yang dibeli. Jika tersilap, ucapan maaf segera diajukan.

Berlainan pula di Guangzhou. Pengalaman pertama saya berurusan di kaunter ialah sewaktu membeli tiket keretapi menuju ke Shenzhen. Saya amat terkejut apabila dilemparkan duit baki bersama tiket selepas selesai urusan membeli.

Sudahlah tidak bersenyum dan mengucapkan terima kasih, dilemparkan pula begitu sahaja. Hati saya sedikit tidak puas hati dengan tindakan pelayan tadi. Disebabkan ramai yang menunggu giliran di belakang, saya terpaksa meninggalkan kaunter dengan hati yang geram.

Advertisement

Sementara menunggu masa berlepas, saya sengaja perhatikan tatacara urusan pelayan-pelayan kaunter lain. Hampir kesemua pelayan mengamalkan sikap yang serupa.

Bagi memujuk hati ini, saya hanya menganggap itu kelemahan dalam bidang pengurusan oleh pihak berkuasa. Situasi ini lebih terasa apabila membandingkan Malaysia yang mengutamakan keselesaan pelanggan melalui kempen ‘Senyum, Utamakan Pelanggan, dan Berbudi Bahasa’.

Setelah beberapa bulan berada di sini, saya kemudiannya mendapati sikap yang kurang sopan ini adalah suatu yang normal. Ini terjadi kerana mereka ingin mengejar masa dalam mengurus masyarakat yang begitu ramai.

Advertisement

Metro adalah keretapi aliran ringan yang merupakan pengangkutan paling efektif

Apa yang menarik lagi ialah sikap negatif yang ditonjolkan itu langsung tidak diendahkan pelanggan. Tiada sesiapa terasa hati atas sikap begitu melainkan para pengunjung yang sudah terbiasa dengan amalan bersopan santun.

Pernah sekali saya membimbing sekumpulan rombongan dari Malaysia yang merungut dengan sikap pelayan-pelayan yang tidak sopan. Pesan saya kepada mereka, “Tak perlulah ambil hati dengan sikap mereka sebab ini adalah budaya mereka. Mereka sendiri pun tidak terasa hati atas layanan negatif yang diterima.”

Rupa-rupanya kita mampu tersilap dalam menilai suatu perkara. Boleh jadi satu perkara itu baik di mata masyarakat kita tetapi sebaliknya di mata masyarakat asing. Yang penting kita perlu memahami adat budaya setempat agar tidak berlaku salah tanggapan.

Advertisement

Kadangkala jika pengunjung ke sini untuk membeli belah, sesi tawar-menawar nampak seakan-akan mahu bertengkar. Jadi, jangan mudah putus asa kerana terasa hati. Alamat terlepaslah peluang untuk anda mendapatkan harga terendah.

Bercakap kasar sudah menjadi kebiasaan mereka. Samalah seperti masyarakat Melayu di Melaka yang sinonim dengan kata-kata kasar dalam perbualan. Seperti mana kita memahami adat budaya orang Melaka, begitulah seharusnya kita fahami adat budaya orang Guangzhou.

Jika pengunjung pandai melayan kerenah kasar mereka, harga yang diminta akhirnya akan diberikan. Bercakap kasar itu petanda ketegasan bukan kemarahan walaupun kedua-duanya sukar dibezakan. Hanya situasi yang dapat membezakan maksud kata tersebut.

Advertisement

Masih terngiang di ingatanku sewaktu mendengar pesan Datuk Dr Fadzilah Kamsah dalam slot motivasinya di kaca televisyen, “Sesuatu yang normal belum tentu betul dan sesuatu yang betul belum tentu normal.”

Pada Jun 2009, saya sempat bersama seorang pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sewaktu berkunjung ke Beijing. Dia telah berjaya mengubah sikap normal seorang peniaga di sana yang seperti marah-marah apabila ditanya tentang harga satu set selimut dan cadar. Senyum pun amat mahal untuk dilemparkan.

“Why you speak loud? Speak slow..slow. Smile please,” tegur pensyarah itu yang tidak tahu berbahasa Mandarin. Dia terpaksa bercakap Inggeris secara mudah dengan mimik muka yang berkesan supaya tegurannya difahami.

Advertisement

Anehnya, peniaga itu nampaknya faham dan tersenyum lalu bercakap dengan nada yang lebih perlahan. Manis sekali wajah gadis itu apabila berubah watak. Barulah saya sedar membetulkan yang normal itu bukanlah tindakan yang tidak wajar.

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top