KOTA TINGGI, 18 DIS : Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan aktiviti menjala ikan di kawasan yang dinaiki air banjir.
Pegawai Daerah Kota Tinggi, Farizal Ismail berkata, beliau mendapati terdapat masyarakat yang mengambil kesempatan melakukan aktiviti itu pada musim banjir ini.
Katanya, apa yang dikhuatirkan aktiviti berkenaan boleh mengundang risiko lebih-lebih lagi tular berkenaan buaya yang tersesat akibat banjir melanda negeri ini.
“Kalau boleh jangan ada aktiviti menjala ikan sebab ada tular berkenaan ada buaya ada ular kita tidak pasti.
“Kalau siang boleh nampak tetapi kalau malam tidak nampak. Kalau ada isu jadi pihak keselamatan agak susah.
“Tambahan pula kita tidak tahu aktiviti menjala itu dilakukan di mana, pergi mana kita tidak tahu dan tiba-tiba tidak balik ini akan timbulkan masalah,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas melakukan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Mawai hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah.
Terdahulu, Jabatan Perhilitan Johor menasihati orang ramai supaya berwaspada tentang kemungkinan terdapat buaya tembaga ‘yang tersesat’ dari sungai berdekatan akibat banjir melanda sembilan daerah negeri ini.
Pengarahnya, Salman Saaban dilaporkan berkata, ia tidak mustahil selepas mengambil kira laporan serta kajian kehadiran populasi buaya di sembilan sungai negeri ini sebelum ini.
Sungai-sungai berkenaan ialah Sungai Batu Pahat (Batu Pahat), Sungai Jemaluang dan Sungai Endau (Mersing), Sungai Lebam dan Sungai Sedili (Kota Tinggi), Sungai Muar (Muar), Sungai Pulai (Pulai) dan Sungai Johor dan Sungai Skudai (Johor Bahru).
“Jadi kawasan berpotensi (untuk buaya ini tersesat) tentunya ialah di longkang-longkang besar, parit atau tali air.
“Ia akan mencari binatang ternakan yang mati lemas akibat banjir sebagai sumber makanan yang mudah,”katanya seperti dilaporkan Bernama.
Salman berkata, sekiranya terserempak dengan haiwan reptilia itu, tindakan yang harus dibuat oleh orang ramai ialah menjauhinya dan memaklumkannya kepada pihak jabatan.
JohorKini