KLUANG, 5 JAN: Seorang lelaki yang hilang dihanyut bersama kenderaannya sejak Sabtu, dijumpai petang semalam.
Lelaki itu dilaporkan hilang pada Sabtu, kira-kira jam 9.30 malam, di Batu 18, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kahang dekat Kluang, Johor.
Mayat Md Rajihan Junaidi Arjo, 28 tahun berjaya dijumpai jam 5:10 petang di dalam kebun pisang pada jarak 100 meter dari jalan utama.
Mangsa dibawa keluar menggunakan bot bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Penguasa Bomba, Akob Sedek dilaporkan Astro Awani berkata, mayat Md Rajihan ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat petang semalam.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa naik untuk dikenal pasti oleh keluarga yang sudah menunggu sejak awal proses pencarian dilakukan.
Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dirujuk ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang untuk proses bedah siasat.
Semasa kejadian, kereta tersebut dinaiki oleh Md Rajihan dan isterinya.
Md Rajihan dikatakan gagal menyelamatkan diri selepas menyelamatkan isterinya, Khairunnisa Ibrahim, 24 tahun.
Mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras akibat banjir yang berlaku di jalan tersebut.
Terdahulu, pada Ahad, kereta Proton Waja yang dinaiki mangsa dilaporkan telah terjunam ke dalam parit di tepi jalan.
Kenderaan itu berjaya dikesan dan dinaikkan ke darat pada jam 6.10 petang pada hari yang sama oleh pihak Polis Kahang.
Johorkini