BM | EN | 中文

Di bawah PN, ‘perpaduan’ sekadar slogan

Perikatan_Nasional_PN-1.png

MUAR, 16 SEPT: Slogan perpaduan bersempena Hari Malaysia kali ini boleh dianggap hanya sekadar slogan dan bukannya menggambarkan realiti di negara ini.

Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Mohd Faizul Salleh berkata di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) slogan berkenaan perpaduan seolah suatu dongengan semata tanpa memiliki semangat tersebut.

Katanya, kerajaan PN yang ditubuhkan atas sifat menolak hak kaum lain selain Melayu di Malaysia adalah suatu perpecahan yang besar.

“Umno dan Pas khususnya sebelum ini hanya membisikkan sentimen perkauman yang melampau sehinggakan tanpa mereka sedar ia merosakkan perpaduan sesama kita.

“Bangsa Cina khususnya di negara sengaja dijadikan bahan oleh pimpinan PN diburukkan serta difitnah untuk memerintah negara demi meraih simpati kaum atau bangsa Melayu.

“Ini jelas apabila (berdasarkan) kenyataan penyokong dan pendokong parti mereka yang menghina bangsa lain di dalam negara ini,” katanya dalam kenyataan bersempena sambutan Hari Malaysia.

Beliau turut menyatakan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bukanlah individu yang mampu untuk menyatukan semua bangsa di negara ini.

Mohd Faizul Mohd Salleh

“Beliau bukan seorang yang berkaliber dalam menguruskan perpaduan di negara ini kerana tertubuhnya PN atas pengkhianatan bermatlamatkan perkauman.

“Ternyata hari ini slogan perpaduan hanya sekadar kosmetik. Mereka akan hanya mempergunakannya untuk mendapatkan sokongan sahaja.

“Bagaimana sebuah kerajaan mahu membangunkan perpaduan sedangkan di dalamnya ada parti yang mengamalkan sifat perkauman melampau seperti Umno dan Pas?

“Sudah jelas ianya hanya gula-gula bagi memeriahkan Hari Malaysia sahaja tanpa ada sebarang usaha yang jitu,” katanya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top