Masalah hospital di Pulai Sebatang yang kurang kelengkapan perubatan dan kakitangan akan menjadi fokus untuk dipertingkat mutu perkhidmatannya.
Calon Pakatan Harapan (PH) di DUN Pulai Sebatang, Suhaizan Kaiat berkata, masalah tersebut sering dibangkitkan oleh penduduk tempatan walaupun hospital telah lama dibina.
“Bila saya semak, apabila sesebuah hospital kurang kelengkapan, maka banyak kes tak dapat diselesaikan dan terpaksa dipindahkan ke hospital lain. Biasanya ke Johor Bahru atau Batu Pahat.
“Jadi masyarakat sini, kalau rasa kritikal, mereka tidak ke hospital di sini kecuali kalau sakit biasa,” ujarnya.
Suhaizan berkata demikian dalam program Santai Speaker yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook, malam tadi.
Suhaizan yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor menambah, COVID-19 telah menyebabkan ramai penduduk termasuk anak muda hilang pekerjaan, pendapatan merosot sehingga terpaksa berhijrah ke tempat lain.
Oleh itu, beliau bercadang menjadikan Pulai Sebatang sebagai destinasi baharu pelancongan berdasarkan kepada tarikan alam semulajadi yang terdapat di situ.
“Pertanian pun sesuai dan boleh dibentuk program agro pelancongan dan keusahawanan
“Ini ruang yang baik untuk anak muda menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan dengan bimbangan,” katanya.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terpaksa diadakan selepas pembubaran DUN pada 23 Januari 2022.
AMANAH yang bertanding di bawah logo PH meletakkan 16 calon termasuk daripada sayap wanita dan pemuda.
Tarikh penamaan calon akan diadakan pada 26 Februari, pengundian awal pada 8 Mac dan pengundian pada 12 Mac.
Seramai 2.6 rakyat Johor layak mengundi pada PRN kali ke-15 ini.
Undian ini penting untuk menentukan masa depan Johor bagi tempoh lima tahun lagi.
Para pengundi yang berada di luar Johor diharapkan pulang mengundi untuk memilih calon wakil rakyat di tempat masing-masing.
Sekiranya pengundi berdepan kesukaran untuk pulang mengundi, sila layari johorngundi.com untuk mendapatkan bantuan atau memberi sumbangan.