JOHOR BAHRU, 20 NOV : Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi syarikat Biopro Cosmeceutical Sdn Bhd, syarikat hiliran UTM berjaya menghasilkan Dermags Skin Corrector Serum dengan Androex (Dermags).
Produk berkenaan merupakan serum rawatan wajah berkepekatan tinggi, serta bebas minyak yang dirumus khas untuk mengurangkan kesan parut dan tona kulit tidak sekata.
Ia dihasilkan oleh Pengarah Urusan Biopro Cosmeceutical Sdn Bhd yang juga Pensyarah Kanan di Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, Fakulti Kejuruteraan UTM, Dr Mariani Abdul Hamid.

Dr Mariani menunjukkan Dermags yang dihasilkan menerusi penyelidikannya
Kata Dr Mariani, serum ini diformulasi dengan Androex yang mana merupakan bahan aktif penting yang dipaten di bawah UTM daripada ekstrak daun pokok hempedu bumi.
“Penyelidikan penghasilan serum ini dibuat ketika saya melanjutkan pengajian doktor falsafah (Phd) di Universiti Dongguk, Seoul, Korea Selatan pada 2009 lagi.
“Bagaimanapun, Dermags ini dihasilkan daripada bahan semulajadi dilihat berpotensi untuk dikomersialkan dan penyelidikan lanjut masih dilakukan sehingga saya pulang ke Malaysia pada 2012 dan mendapat pelbagai geran daripada pelbagai pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran produk itu yang disempurnakan Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar di Dewan Sultan Iskandar, di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, menariknya, produk itu menggunakan teknologi ‘nanoemulgel’ sebagai pengantara untuk meningkatkan kadar penyerapan bahan aktif kulit.
“Kombinasi teknologi ‘nanoemulgel’ dan ekstrak daun hempedu bumi menghasilkan kebolehserapan tinggi dengan kesan penyembuhan luka dan pemulihan parut yang lebih efektif,” katanya.
Jelasnya, produk ini bakal berada di pasaran pada 1 Disember depan dan buat permulaan 1,000 botol akan dijual menerusi laman web syarikat itu serta pengedar yang telah dilantik.
JohorKini