BM | EN | 中文

Dera dua beradik, polis Iskandar Puteri tahan pasangan suami isteri

Dera-dua-beradik-polis-Iskandar-Puteri-tahan-pasangan-suami-isteri.jpg
Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 7 OKT: Polis daerah ini telah menahan dua lagi suspek berkaitan kejadian dera melibatkan dua beradik lelaki di Taman Selesa Jaya, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kedua-dua mereka yang ditahan itu merupakan sepasang suami isteri dan pengasuh kepada mangsa.

Dzulkhairi dilaporkan Utusan Online sebagai berkata, kedua-dua suspek yang berusia 24 dan 32 tahun itu dikenakan tahanan reman bermula hari ini sehingga 12 Oktober bagi membantu siasatan.

Advertisement

“Sementara itu, dua daripada tiga individu yang ditahan polis sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam iaitu B. Mariamah, 60, dan anak perempuannya, R. Deeba, 37.

“Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kedua-duanya yang tidak bekerja kemudian dikenakan jaminan RM15,000 masing-masing namun kerana gagal membayar, mereka ditahan di dalam lokap,” katanya di sini, hari ini.

Advertisement

Tambah Dzulkhairi, mahkamah kemudian menetapkan tarikh 24 November ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

“Seorang lagi individu yang ditahan sebelum ini iaitu teman lelaki Deeba yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dibebaskan dengan bon jaminan serta akan menjadi saksi pendakwaan.

“Sementara itu, kedua-dua mangsa kini masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas ini,” ujarnya.

Advertisement

Semalam, media melaporkan dua beradik berusia 6 dan 11 tahun didera dengan cara dipukul dengan rotan getah paip, disimbah dengan air panas selain dicucuh dengan puntung rokok dipercayai perbuatan pengasuh mereka.

Ibu mereka, M. Vikneswari, 30, yang sudah kematian suami meninggalkan anaknya dalam jagaan pengasuh itu yang dikenali melalui seorang kenalannya dengan bayaran upah RM800 sebulan sejak April lalu.

Wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai itu juga mendakwa hanya bertemu dengan anak-anaknya sebanyak tiga kali sahaja kerana sibuk bekerja selain pengasuh memberi pelbagai alasan untuk menghalang mereka bertemu.

Advertisement

Perbuatan dera itu terbongkar apabila kedua-dua anak Vikneswari dipulangkan kepadanya menggunakan perkhidmatan e-hailing baru-baru ini setelah wanita itu membuat laporan polis.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top