BM | EN | 中文

Dendang Syawal Makcik Kiah

makcik-kiah.png

Ilustrasi artis 'Makcik Kiah' (Gambar Ehsan Web Bernama)

Oleh : Iskandar Fareez

Di ambang Syawal ini, kasihan keluarga Makcik Kiah. Pelbagai pancaroba yang harus mereka tempuhi bersama. Ketika dahulunya beliau sekeluarga dijanjikan dengan manfaat lebih RM8,600 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (PRIHATIN), ternyata apa yang diterima jauh lebih rendah daripada itu.

Mungkin beberapa terma dan syarat bantuan itu tidak begitu jelas sewaktu pengumuman dibuat. Misalnya, terdahulu Makcik Kiah pernah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), jadi tercicirlah beliau daripada Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Disebabkan mata pencarian terputus, maka Makcik Kiah pun pergilah ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membuat rayuan, tetapi tiada jaminan bantuan itu akan diluluskan.

Untuk buat pinjaman pun Makcik Kiah tak berani kerana sumber rezeki tak menentu. Bagaimana mahu membayar semula jika tiada pendapatan pun?

Menurut analogi Perdana Menteri (PM) juga, Makcik Kiah ini ada seorang sahaja anak yang mendapat pelepasan PTPTN. Tetapi mungkin PM terlupa pula kepada anak-anak yang lain. Ada yang terpaksa menerima potongan gaji, ada juga yang bercuti tanpa gaji kerana majikan tidak berupaya menampung kos upah pekerja.

Dengan subsidi upah hanya sebanyak RM600, RM800 dan RM1,200 seorang, maka tidak hairanlah jika majikan memilh untuk memberhentikan pekerja kerana perolehan mereka tidak dapat menampung perbelanjaan ini.

Bukan itu sahaja, keluarga Makcik tempuhi masalah lain merangkumi kenaikan harga barangan seperti daging, ayam dan sayur yang melonjak menjelang perayaan Aidilfitri ini.

Malah, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid pula sekadar mampu menasihatkan rakyat seperti Makcik Kiah supaya memilih kedai yang murah jika ingin mendapatkan bekalan makanan mentah itu. Kasihan sungguh.

Berhadapan dengan pelbagai ranjau menjelang awal Syawal ini masih bolehkah Makcik Kiah sekeluarga tersenyum merenungkan nasib mereka? Tentulah tidak.

Makcik Kiah perlu sokongan perundangan

Walaupun telah banyak bantuan dan pakej rangsangan diumumkan, langkah kerajaan masih belum menyeluruh untuk melindungi perusahaan industri kecil sederhana (IKS) seperti yang diusahakan oleh Makcik Kiah. Kebanyakan masalah yang dihuraikan memerlukan penyelesaian daripada aspek perundangan juga.

Rang Undang-Undang baharu atau pun akta sedia ada perlu diubahsuai bagi melindungi nasib Makcik Kiah sekeluarga dan rakan-rakan yang berkongsi nasib yang sama ketika berhadapan dengan norma yang baharu. Pindaan kepada beberapa undang-undang pekerjaan, percukaian, kesihatan dan pendidikan begitu mustahak bagi melindungi golongan yang terkesan dek gangguan kepada kehidupan dan sistem ekonomi yang mencabar buat rata-rata rakyat Malaysia.

Menurut pakar undang-undang Profesor Datuk Dr Salleh Buang, kerajaan harus mewujudkan undang-undang khas bersifat sementara bagi melindungi perniagaan di negara ini yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19, lantas menyelamatkan pekerjaan. Hal ini menjurus kepada perlindungan perniagaan daripada tindakan undang-undang jika gagal memenuhi perjanjian akibat terjejas dengan wabak berkenaan.

Jelas sekali, persidangan penuh parlimen diperlukan bagi mencapai matlamat-matlamat yang telah digariskan. Malangnya, pada 18 Mei lepas, Parlimen hanya mesyuarat untuk 90 minit sahaja. Itu pun untuk mendengar titah Diraja Yang di-Pertuan Agong tanpa sebarang perbahasan. Sekadar cukup syarat sahaja supaya ahli-ahli parlimen kekal menyandang jawatan mereka.

Apabila digesa lagi untuk memanggil persidangan penuh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan meminta semua pihak bersabar kerana RUU berkaitan Covid-19 hanya akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang 13 Julai nanti.

Dengan erti kata lain, ketika rakyat meminta supaya tindakan diambil secepat mungkin, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) seolah-olah hanya menyahut “Tunggulah dua bulan lagi”.

Dalam pandemik, masa adalah yang paling berharga. Ternyata, kita terlepas peluang keemasan untuk bertindak segera. Sekiranya aturan perundangan yang memenuhi keperluan rakyat tidak digubal tepat pada masanya, maka implikasi kepada kehidupan dan ‘periuk nasi’ rakyat akan menjadi lebih dahsyat lagi.

Namun begitu, biarpun agak terlambat untuk mengubah nasib rakyat yang terkesan awal Syawal ini, kerajaan PN masih berpeluang membuat sesuatu dengan segera bagi menyelesaikan masalah rakyat bagi tempoh jangkamasa sederhana dan panjang.

Mereka mempunyai peluang untuk memanggil sesi persidangan khas Parlimen yang berjalan untuk tempoh 3 – 5 hari dalam masa terdekat ini. Sudah tentu sesi ini perlu dijalankan seiring dan sejalan dengan pengubahsuaian SOP seperti dilaksanakan di Parlimen negara lain. Integrasi teknologi seperti video dan ‘teleconferencing’ perlu digalakkan bagi membawa sistem Parlimen kita ke alam maya (virtual).

Apa yang jelas, zaman kerajaan tahu segala perkara sudah berakhir. Kerajaan perlu kembali ke parlimen untuk berunding dan mempertimbangkan masa depan negara bersama ahli-ahli parlimen yang dipilih rakyat.

Dengan itu, kita perlu pastikan ahli-ahli parlimen kita dapat menunaikan tanggungjawab mereka dan bersidang bagi membawa isu-isu rakyat walau dengan apa jua cara sekali pun. Nasib Makcik Kiah sekeluarga dan rakan-rakan bergantung kepadanya.

Amat malang sekali jika keperluan ini ditunggak sama sekali.

Kata orang; Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Penulis adalah pembaca laman Johorkini dari Kuala Lumpur.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi, dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top