JOHOR BAHRU, 12 OKT: Satu delegasi skuad kebangsaan Brazil telah melawat fasiliti milik Kelab Bolasepak Johor Darul Tazim (JDT) untuk membincangkan kemungkinan penggunaan fasiliti Harimau Selatan pada masa akan datang.
Menurut satu kiriman yang dimuatnaik di Facebook rasmi Johor Southern Tigers, lawatan tersebut terdiri daripada penyelaras pasukan Juninho Paulista, Penyelia Besar Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF) Luis Wagner, Pengarah Pemasaran Gilberto Ratto dan pemain legenda Bebeto.
“Lawatan dilakukan pada hari ini untuk membincangkan kemungkinan penggunaan fasiliti ini apabila Selecao berada di rantau ini,” katanya.
Tambahannya lagi, delegasi tersebut juga telah berkunjung ke Pusat Latihan Kelab Bolasepak JDT di Padang Seri Gelam, yang dianggap antara fasiliti terbaik di Asia.
“Selepas itu delegasi tersebut turut mengunjungi Stadium Sultan Ibrahim yang akan siap tidak lama lagi dan Ibu Pejabat JDT di Iskandar Puteri,” katanya.
Turut hadir sama pada lawatan tersebut adalah Penasihat Media Vinicius dan Ketua Keselamatan Aloisio Rocha.
Johorkini