JOHOR BAHRU, 2 OKT: Delegasi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini berada di Turin, Itali, sebagai sebahagian daripada kolaborasi kelab Harimau Selatan tersebut bersama pasukan gergasi Itali, Juventus.
Delegasi JDT berada di Turin untuk mempelajari cara pengurusan bola sepak Juventus, penjagaan stadium serta kursus kejurulatihan, menurut saty kenyataan kelab tersebut yang dimuat naik ke Facebook Johor Southern Tiger, hari ini.
Kerjasama dua hala ini merupakan hasil dari perbincangan positif antara Pemangku Raja Johor, Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan Pengerusi Juventus, Andrea Agnelli, ketika lawatan baginda ke kelab tersebut, Mac lalu.
Antara perkara yang terkandung dalam agenda tersebut adalah kursus kejurulatihan, pembangunan bola sepak, pengurusan, kemudahan dan belia serta penjagaan stadium.
Delegasi JDT yang tiba pada hari Isnin lalu dan terus menuju ke Stadium Allianz dan diberikan taklimat oleh Head of Stadium Revenue, Alberto Pairetto mengenai pengkomersilan Stadium Allianz.
Delegasi ini akan berada di sana untuk beberapa hari bagi mempelajari selok belok pengurusan Juventus sebelum kembali ke Johor.
Johorkini