Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal (tiga, kiri) menyerahkan sijil penghargaan dan cek bernilai RM10,000 kepada penerima Anugerah Maal Hijrah 1441 Hijriah Peringkat Negeri Johor Ishak Abdul Hamid (dua, kanan), 77, pada Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor di Pusat Islam Iskandar hari ini.
JOHOR BAHRU, 1 SEPT: Bekas Hakim Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru, Ishak Abd Hamid yang dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Johor 2019, meminta ibu bapa supaya menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup anak mereka sejak kecil lagi.
“Jadilah orang yang berilmu dan jangan biar sampai anak lupa kepada al-Quran. Belajarlah (membaca) al-Quran walaupun hanya huruf Alif, Ba, Ta. Belajarlah juga al-Quran meskipun sudah kita tua kerana ia bermanfaat untuk kita di dunia dan akhirat.
“Kita tidak boleh hanya dengar orang mengaji, mesti belajar,” kata Ishak, 77, yang berasal dari Pontian.
Pemilihan beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah itu berdasarkan jasa dan sumbangan beliau yang berkhidmat kepada kerajaan negeri dan masyarakat sejak tahun 1977.
Berikutan pengiktirafan berkenaan, beliau menerima hadiah RM10,000, plak, sijil penghargaan dan hadiah iringan yang disampaikan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal pada sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Pusat Islam Iskandar di sini, hari ini.
Bernama