KLUANG, 12 NOV: Meskipun sambutan Deepavali tahun ini diraikan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun tidak menghalang Adun Palon, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali dari menyampaikan sumbangan perayaan.
Beliau menjelaskan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas bagi sambutan Deepavali akan diserahkan secara bersasar kepada mereka yang memerlukan terutamanya dalam kawasan DUN Paloh.
“Siapkan pek barang-barang sumbangan untuk saudara-saudara India saya di Paloh sempena Deepavali.
“Jumlah barangan agak terhad. Jadi, mana-mana saudara India saya di kawasan Paloh yang betul-betul perlukan bantuan, boleh datang ke pejabat saya di Jalan Abu Bakar, berdekatan balai polis.
“InsyaAllah saya cuba bantu sebaik mungkin,” kata Sheikh ‘Umar yang lebih mersa dipanggil ‘Bro Shake’.
Beliau berkata, melalui program itu ia dapat memberikan peluang kepadanya menjelajah ke kawasan dan mendekatkan diri dengan rakyat setempat.
Sheikh ‘Umar sebelum itu turut sempat menziarahi Puan Muniayama di Felda Kahang Barat, salah satu daripada sebilangan kecil peneroka India di Felda ini.
“Mendiang suaminya – Rajasegaran adalah salah seorang daripada sebilangan kecil peneroka India di Felda ini.
“Seorang lagi peneroka India di Felda Kahang Barat ini ialah mendiang Mugaya. Pasangan Mugaya dan isterinya dua-dua sudah meninggal dunia.
“Kami ke rumahnya untuk bertemu Mugen, anak mereka. Tetapi Mugen tiada di rumah.
“Kami bekalkan sumbangan tersebut kepada Muniayama untuk disampaikan kepada Mugen bila beliau sudah pulang nanti. Apapun, selamat hari Deepavali buat mereka,” kata Sheikh ‘Umar.
Johorkini