BM | EN | 中文

Datuk Mohd Tahrir Samsuddin terima anugerah Tokoh Maal Hijrah Johor

Datuk-Mohd-Tahrir-Samsuddin-terima-anugerah-Tokoh-Maal-Hijrah-Johor.jpeg

JOHOR BAHRU, 20 OGOS: Bekas Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin, 71, menerima Anugerah Maal Hijrah bersempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Johor 1442H/2020M, di Pusat Islam Iskandar Johor, hari ini.

Mohd Tahrir menerima wang tunai berjumlah RM10,000, hadiah iringan berjumlah RM2,000, sijil penghargaan dan sebuah plak.

“Saya akan meneruskan khidmat masyarakat dari segi penyampaian ilmu dan pertubuhan Islam. Usaha berdakwah tidak akan terhenti selagi saya mampu.

“Allah SWT menyebut dalam al-Quran surah An-Nur Ayat: 35 bahawa nur hidayah Allah SWT kepada sesiapa yang mengikut landasannya, jadi maknanya bilamana contohnya matahari bersinar semua cahaya lain kena tutup.

“Begitu sinar Islam sudah memancar, yang lain bertentangan dengan Islam ditutup. Kalau liberal itu betul, maka tak ada yang dikatakan dakwah.

“Dakwah ini bermakna sentiasa dituntut untuk disebarkan dengan cara baik supaya agama Islam itu dipelihara oleh umatnya,” katanya, lapor Kosmo.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyampaian anugerah berkenaan.

Mohd Tahrir kini sebagai Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sejak November 2018.

Kepakaran dan khidmat bakti beliau dicurahkan menerusi pembabitan sebagai Ahli Penggubal Modul Sakinah Penceramah Johor.

Selain itu beliau juga adalah Pakar Rujuk Modul Pengukuhan Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah Negeri Johor serta Kuliah Agama sekitar daerah Johor Bahru sejak 1992 hingga kini.

Sementara itu, pembantu tadbir, Nur Salina Pei Abdullah, 32, yang diumumkan penerima Anugerah Maal Hijrah Saudara Kita.

Manakala, Anugerah Maal Hijrah Orang Asli adalah Yusri Abdullah, 40, yang merupakan Orang Asli Suku Jakun.

Mereka masing-masing menerima wang tunai RM2,000, sijil penghargaan dan hadiah iringan bernilai RM1,000.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top