ISKANDAR PUTERI, 1 MAC: ADUN Benut, Datuk Ir Hasni Mohammad memulakan tugasnya selaku Menteri Besar hari ini selepas memasuki pejabatnya di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, di sini, pada jam 8.30 pagi hari ini.
Hasni dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu secara rasmi selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Jumaat lalu.
Ketibaan Hasni di pejabatnya disambut Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Timbalannya, Datuk Dr Badrul Hisham Kassim dan Pegawai Kewangan Johor, Datuk A Rahim Nin.
Beliau menggantikan Menteri Besar terdahulu, Datuk Dr Sahruddin Jamal selepas penubuhan kerajaan baharu ekoran kemelut politik yang berlaku sebelum itu.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berjaya menubuhkan kerajaan negeri baharu selepas gabungan Perikatan Nasional berjaya memperoleh majoriti kerusi DUN menewaskan Pakatan Harapan.
Johorkini