ISKANDAR PUTERI, 23 JAN: Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif YPJ Holdings, Datuk Amran Rahman sebagai Chef De Mission (CDM) kontinjen negeri bagi Sukma Johor 2020.
Perkara tersebut diumumkan pada Majlis Amanat dan Penyerahan Sijil Pelantikan Ketua Kontinjen dan Timbalan Kontinjen Sukma Negeri Johor 2020 di Hotel Ramada, di sini hari ini.
Sementara itu, tiga Timbalan CDM kontinjen negeri ialah Datuk Mohd Noorazam Osman, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ); Muhammad Farkhan Mohd Haron, Presiden Persatuan Tinju Amatur Negeri Johor dan Cheo Yee How, ADUN Perling.
Dalam pada itu, Mohd Khuzzan turut memaklumkan pihaknya telah meneliti persiapan atlet Sukma Johor selain prasarana pertandingan di seluruh negeri.
“Kita selaku tuan rumah memiliki tugasan lebih berat daripada apa yang kita lakukan pada 2018 ketika Sukma Perak.
“Kali ini kita tuan rumah dan pegawai yang telah pun diamanahkan menjaga persatuan haruslah memastikan sasaran yang ditetapkan dapat kita capai,” katanya.
Beliau akan turut mengadakan pertemuan dengan kesemua persatuan sukan terlibat bagi memastikan persiapan atlet dan sasaran pingat dapat dicapai.
“Walaupun kami agak sibuk dan akan ke seluruh negeri-negeri di Malaysia untuk menyampaikan surat jemputan bagi menyertai Sukma dan para Sukma, tapi kita masih ada kekosongan masa.
“Kita akan turun ke gelanggang untuk melihat sendiri persiapan persatuan-persatuan sukan,” katanya lagi.
Khuzzan yang juga ADUN Semerah turut berkata, siri pertemuan dengan Sekretariat Sukma dan setiap jawatankuasa kecil juga akan dibuat bagi memastikan perkembangan berkaitan isu pengangkutan, penempatan, publisiti dan sebaginya dikemaskini dan ditambahbaik.
Johorkini