BM | EN | 中文

‘Datuk Addy Kana’, 2 anggota polis dibebaskan daripada tahanan POCA

mahkamah.jpg
Advertisement

PUTRAJAYA, 28 APR: Mahkamah Persekutuan semalam memerintahkan ahli perniagaan Zaidi Kanapiah atau lebih dikenali sebagai “Datuk Addy Kana” dan dua anggota polis yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berkaitan satu sindiket perjudian dalam talian, dibebaskan dengan serta-merta.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim membenarkan rayuan ketiga-tiga mereka terhadap permohonan writ habeas corpus.

Empat lagi hakim yang merupakan ahli panel itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zaleha Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Advertisement

Zaidi, Koperal Muhamad Amin Nur Rashid Mohamed Puad dan Koperal Mohd Hairy Mohammad yang berusia antara 35 hingga 40 tahun merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan permohonan writ habeas corpus mereka supaya dibebaskan dengan serta-merta.

Tengku Maimun bersetuju responden terdiri daripada mahkamah majistret, ketua polis negara, kerajaan dan ASP Khairul Fairoz Rodzuan tidak memenuhi keperluan undang-undang untuk menjustikasi kesahan penahanan ketiga-tiga mereka.

“Rayuan dibenarkan, perintah Mahkamah Tinggi diketepikan dan permohonan writ habeas corpus perayu (Addy Kana dan dua lagi) dibenarkan. Justeru, dengan perintah setiap perayu dibebaskan daripada tahanan serta-merta,” kata Hakim Tengku Maimun.

Advertisement

Tengku Maimun dalam penghakimannya berkata penangkapan dan penahanan perayu di bawah Seksyen 4 POCA 1959 menyalahi undang-undang kerana permohonan reman di hadapan seorang majistret tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.

Beliau berkata penahanan awal dilakukan berdasarkan “undang-undang” yang tidak menurut Perlembagaan, maka tiada asas undang-undang untuk menahan perayu.

“Penahanan mereka adalah tidak mengikut undang-undang dan habeas corpus yang merupakan hak mereka perlu diberikan,” katanya.

Advertisement

Ketua Hakim Negara juga berkata Seksyen 4(1) dan 4(2) POCA adalah tidak mengikut Perlembagaan kerana ia bertentangan dengan kerangka asas doktrin.

Beliau berkata di bawah kedua-dua subseksyen (1) dan (2), majistret tidak mempunyai hak untuk menggunakan “judicial mind” mereka atau menggunakan budi bicara untuk menentukan sama ada permohonan reman patut diluluskan.

Beliau berkata dengan mengikat majistret kepada arahan Eksekutif di dalam polis dan pendakwa raya, undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen cuba untuk mengatasi ciri-ciri tertentu ini.

Advertisement

“Oleh demikian, subsekyen (1) dan (2) Seksyen 4 POCA tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan dan adalah tidak sah. Anggapan bahawa keperlembagaan telah diatasi menunjukkan peruntukan yang dimaksudkan boleh dihapuskan,” katanya.

Ketua Hakim Negara selanjutnya berkata jenayah perjudian sukar dianggap sebagai sesuatu yang hampir dengan kekerasan terancang biarpun ia boleh diklasikasikan sebagai jenayah terancang.

“Jenayah terancang tidak semestinya sama dengan kekerasan terancang. Sebagai contoh, ‘jenayah kolar putih’ yang dilakukan profesional dalam swasta dan kerajaan ialah jenayah tanpa kekerasan. Responden-responden tidak menyatakan kekerasan terancang di dalam adavit mereka,” kata beliau.

Advertisement

Terdahulu, Tengku Maimun dan Rhodzariah membenarkan rayuan itu sementara tiga lagi menentang.

Bagaimanapun, majoriti hakim terdiri daripada Ong, Zaleha dan Hasnah kemudian bersetuju dengan kedua-dua hakim selepas peguam perayu Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Gobind Singh Deo membangkitkan isu majistret tidak mematuhi garis panduan apabila mengeluarkan perintah reman.

Ong berkata selepas melihat penjelasan diperlukan dalam rekod rayuan, mahkamah mendapati tiada apa yang menunjukkan majistret semasa pendengaran permohonan reman mengikut Seksyen 4(1) Akta itu mematuhi garis panduan yang ditetapkan mahkamah.

Advertisement

“Adalah jelas garis panduan itu tidak dipatuhi. Maka, kami (Ong, Zaleha dan Hasnah) membenarkan rayuan ini kerana wujud ketidakpatuhan kepada garis panduan,” kata beliau.

Ketiga-tiga perayu dalam permohonan mereka, berkata penangkapan dan penahanan mereka pada 11 Okt 2020 di bawah Seksyen 4 (1) (c )
Akta Rumah Judi Terbuka 1953 adalah tidak sah, tidak berasas, tidak mematuhi prosedur serta mala de, dan mereka memohon dibebaskan serta-merta.

Menurut polis, ketiga-tiga mereka dan seorang lagi lelaki Goh Leong Yeong atau Alvin Goh ditahan di bawah POCA selama dua tahun di Pusat Pemulihan Khas Simpang Renggam di Johor; PPK Pokok Sena di Kedah dan PPK Bentong di Pahang.

Advertisement

Perintah ke atas mereka dikeluarkan pada 25 dan 26 Nov tahun yang sama sebelum kesemua mereka dibawa ke hadapan Lembaga Pencegahan Jenayah dan Keganasan (Kementerian Dalam Negeri) untuk tindakan selanjutnya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top