BATU PAHAT, 28 SEPT: ‘Dari tadah air hujan masa kini yang terkesan dengan segala bentuk pencemaran alam sekitar akibat perbuatan manusia, lebih baik gali air bawah tanah.
Demikian dinyataka Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim, menjelaskan teknologi mencari sumber air bawah tanah ini mampu untuk menampung permasalahan air tercemar yang berlaku di kawasan sungai di negara ini.
“Kita boleh meneroka soal penggunaan ‘tube well’ bagi menambah sumber air mentah di negara kita dan bukan hanya bergantung kepada kesan iklim air sungai dan sebagainya.
“Buat masa ini sumber air permukaan yang terhad dan tercemar memerlukan kos rawatan yang sangat tinggi. Kerajaan perlu mencari sumber air alternatif bagi menampung kegunaan yang semakin meningkat ini.
“Sumber bekalan air bersih dunia datang dari glasier sebanyak 69 peratus, air bawah tanah 31 peratus dan air permukaan tasik, sungai dan kolam sebanyak 0.3 peratus.
“Ini jelas menyatakan bahawa kita mampu untuk meneroka kaedah baharu bagi menyelesaikan permasalahan ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan kerajaan Johor memutuskan untuk melakukan kajian serta mencari kaedah baharu tersebut dalam menyelesaikan permasalahan sumber air mentah ini.
Tambahnya lagi, penerokaan tersebut akan mampu mengurangkan kos rawatan air di loji rawatan air (LRA) dan akan membolehkan penurunan tarif air di negeri ini.

Khairuddin (dua dari kiri) melawat loji air bawah tanah
“Salah satu pilihan yang masih ada adalah sumber air bawah tanah. Air bawah tanah merujuk kepada air yang tersimpan dalam lapisan tanah atau batuan yang terletak di bawah permukaan bumi.
“Saya percaya ada teknologi yang telah terbukti mampu untuk mencari sumber air bawah tanah dan kerajaan boleh mempelajari teknologi berkaitan air bawah tanah dari negara Amerika atau Jepun contohnya.
“Saya pernah pada Februari 2019 membuat lawatan kerja ke Loji Air Kg Chap ,Bachok Kelantan bersama Jabatan Alam Sekitar Johor yang seratus peratus menggunakan teknologi Amerika sistem bekalan air bawah tanah dan sistem itu sungguh berjaya”
“Kita akan mampu mengurangkan kos kepada pengguna kerana kos rawatan yang rendah kesan dari air yang tidak tercemar. Ini akan membantu ekonomi rakyat di negeri ini yang kian tersepit perit akibat dari desakan hidup yang semakin memuncak,” jelasnya lagi.
Pada 18 September lalu, Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, Kelantan antara negeri yang boleh memanfaatkan air hujan untuk kegunaan harian terutama ketika berdepan masalah bekalan air tidak mencukupi.
Kata Tuan Ibrahim, tidak seperti negeri lain Kelantan tidak terlampau terdedah dengan sektor industri justeru kualiti air hujannya lebih baik.
“Kelantan antaranya boleh manfaat air hujan sebab di negeri ini tidak banyak industri dan kurang pencemaran udara,” katanya seperti dipetik harakahdaily.
Johorkini