BM | EN | 中文

DARI JURUTERA KILANG KE PERUSAHAAN KEROPOK LEKOR

IMG-20191011-WA0003.jpg
Advertisement

PONTIAN, 11 OKT : Keputusan nekad seorang jurutera kilang berhenti kerja untuk memulakan perusahaan sendiri ternyata berbaloi apabila kini perniagaan berasaskan keropok lekor diusahakan berjaya sehingga dipasarkan ke luar negara.

Ghazaley menunjukan produk keropok lekor sejuk beku dan lekorchips yang dihasilkan di kilangnya

Ghazaley Ayiub, 52 pemilik An Nur Food Holding Sdn Bhd yang bertapak di Kampung Serkat, Tanjung Piai berkata, perniagaannya bermula dengan menjual keropok lekor sejuk beku yang diusahakan sejak tahun 2006.

Menurutnya, usaha dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak sebelum berjaya menghasilkan inovasi dalam memastikan produknya mendapat tempat di pasaran.

Advertisement

“Saya buat penyelidikan bersama pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ketika mula-mula membangunkan perniagaan ini. Hasil kajian mendapati sebanyak 20 tan keropok lekor dibawa masuk ke Johor dari Pantai Timur setiap hari untuk bekalan di negeri ini.

“Dari situ saya berfikir bahawa sebenarnya orang Johor suka makan keropok lekor dan kenapa orang Johor sendiri tidak menghasilkan keropok lekor untuk orang Johor,” kata bapa kepada empat orang anak itu.

Ghazaley berkata, pada awalnya untuk bersaing dengan pengusaha keropok lekor dari Pantai Timur adalah satu perkara yang sukar.

Advertisement

Katanya, ini kerana mereka memiliki peralatan seperti bot, selain harga ikan yang rendah berbanding di Johor.

Keropok lekor yang siap dipotong sebelum direbus

Tambahnya, beliau berjaya menghasilkan inovasi keropok lekor sejuk beku selepas mengenal pasti masalah dihadapi pembekal dari Pantai Timur melalui kajian pasaran disini.

“Persaingan memang amat sukar. Sebab itu saya berfikir cara untuk bersaing dengan mengkaji masalah dihadapi pembekal dari Pantai Timur.

Advertisement

“Saya dapati keropok lekor dihantar kebanyakan tidak tahan lama kerana waktu perjalanan yang jauh, disamping keropok lekor dihantar dalam keadaan panjang-panjang.

“Kajian saya lakukan di kawasan lubuk keropok lekor seperti di sekolah, pasar tani dan lain-lain, maka terhasilah inovasi keropok lekor sejuk beku yang siap dipotong pendek sebagai produk pertama kami di sini,” katanya lagi.

Kerja pembungkusan sebelum keropok lekor sejuk beku dipasarkan.

Kata Ghazaley, keropok lekornya mendapat sambutan menggalakkan meskipun harga ditawarkan agak tinggi dan kini produk berkenaan sudah berada di sekitar Johor, Seremban dan juga Melaka.

Advertisement

Kini, pihaknya menghasilkan produk kedua berasaskan keropok lekor iaitu lekorchips ataupun maruku ikan.

Katanya, menjenamakan inovasi tersebut sebagai ‘lekorchips’ menarik perhatian pembeli dan kini produknya berada di serata Malaysia bahkan ke Sabah, Sarawak, Singapura dan juga Brunei.

“Alhamdulillah produk kami mendapat sambutan yang amat baik. Kita juga dapat melihat potensi produk kami di Tanjung Piai ini yang dikenali sebagai pusat pelancongan.

Advertisement

“Dalam sehari kita memproses sebanyak 700kg untuk hasilkan produk keropok lekor sejuk beku, manakala 200kg untuk produk lekorchips.

“Dalam masa sama sudah tentulah kita dapat membantu menjana pendapatan penduduk kampung dengan mengambil mereka bekerja di kilang ini,” katanya.

Menceritakan cabaran dihadapi, Ghazaley berkata, dia hampir berputus asa untuk meneruskan perusahaan tersebut pada tahun 2007.

Advertisement

Namun hasil dorongan dari isteri tercinta Noor Biti Burhanan, 46 dia bangkit semula melangkah kehadapan untuk perniagaanya itu.

“Ketika itu masih baru, ketika sedang rebus keropok lekor berlaku insiden keropok yang direbus itu meletup di dapur menyebabkan dapur terbakar.

“Masa itu memang saya sangat ‘terduduk’ bahkan saya dah cakap pada isteri tak mahu teruskan lagi. Ditambah pula dengan pelbagai masalah lain berkaitan kualiti dan sebagainya.

Advertisement

“Namun isteri mengingatkan kembali ketika saya bekerja sebagai jurutera kilang di Senai. Dari sebuah kilang kosong sehinggalah ia beroperasi dengan baik. Jika dahulu saya boleh buat mengapa tidak sekarang.

“Dari situ saya mula bangkit. Sudah pasti apa yang berlaku ada hikmahnya. Saya menjadi lebih berhati-hati dan lebih bersemangat melangkah kehadapan dengan perusahaan ini,” katanya.

Ghazaley berkata, hasil usaha keras  bersama keluarganya itu, hasil jualan  bagi tahun 2018 mencecah sehingga RM1.5 juta.

Advertisement

Dalam pada itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan yang terlibat membantunya membangunkan perusahaan itu.

Antaranya Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Perikanan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, (Fama) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top