BM | EN | 中文

Danga Heights, MCC Singapura bakal bangunkan projek bernilai RM8 bilion

Danga-Heights-MCC-Singapura-bakal-bangunkan-projek-bernilai-RM8-bil.jpg

Gambar Ehsan Iskandar Waterfront Holdings

JOHOR BAHRU, 7 SEPT: Di sebalik kelembapan ekonomi dunia akibat pandemik COVID-19, Johor dilihat masih lagi berupaya untuk menarik pelaburan berskala besar daripada pelabur asing.

Ini dapat dibuktikan dengan pemeteraian penjualan tanah secara maya antara anak syarikat Iskandar Waterfront Holdings (IWH) iaitu Danga Heights Development (DHD) dengan MCC Singapura, subsidiari Global 500 – Metallurgical Corporationof China Ltd, yang berlangsung hari ini.

Melalui pemeteraian yang disaksikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad itu, kedua-dua pihak komited untuk membentuk usaha sama bagi membangunkan 60 hektar tanah komersil di Skudai dalam tempoh 10 tahun kepada sebuah pembangunan bercampur yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM8 bilion.

Menurut Pengarah IWH Datuk Mohd Noorazam Osman, fasa pertama projek akan bermula pada awal tahun depan di kawasan tanah seluas 15.37 hektar, yang memiliki GDV sebanyak RM2.88 bilion.

“Hari ini, kami akan menyaksikan satu peristiwa penting memandangkan ini akan menjadi pelaburan hartanah utama yang pertama di Johor ketika negara dilanda wabak COVID-19. Oleh itu, kami berharap ia dapat menarik lebih ramai pelabur yang berpotensi untuk bekerjasama dengan IWH dan Johor secara keseluruhannya,” kata Norazam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MCC Singapura, Tan Zhiyong berkata oleh kerana Malaysia mempunyai prospek yang cerah sebagai tempat yang ideal bagi pelaburan dan pembangunan, projek ini pasti akan membantu melakarkan pembangunan dan komitmen jangka panjang Kumpulan MCC di negara ini.

Dalam pada itu, Hasni dalam sidang media kemudiannya memberitahu pelaburan tersebut mencerminkan bahawa Johor masih merupakan destinasi pilihan pelabur dan ianya diharap dapat merancakkan semula pembangunan ekonomi negeri.

“Pelaburan seperti ini diibaratkan seperti ‘a breath of fresh air’ kerana kami telah menghadapi banyak cabaran dan bagi memulih serta merangsang aktiviti ekonomi, kerajaan negeri lebih daripada bersedia untuk bekerjasama dengan pelabur.

“Ini merangkumi infrastruktur jalan sedia ada, sekiranya terdapat keperluan untuk ditambah baik. Begitu kemudahan-kemudahan infrastruktur lain supaya pembangunan dirancang lebih menarik,” katanya.

Turut hadir pada majlis pemeteraian itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor Mohd Izhar Ahmad dan Naib Pengerusi Eksekutif IWH Tan Sri Lim Kang Ho.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top