BM | EN | 中文

Dana Pusat Tuisyen Rakyat Selangor ditambah RM3 juta

Pusat-Tuisyen-Rakyat-Selangor-PTRS.png
Advertisement

SHAH ALAM, 27 NOV: Tambahan peruntukan Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dalam belanjawan negeri Selangor 2021 memungkinkan perkhidmatan percuma itu diperluas.

Sebelum ini sejumlah RM10 juta diperuntukkan, dan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan tambahan RM3 juta kepada RM13 juta.

Amirudin ketika membentangkan belanjawan Selangor berkata, langkah itu dibuat demi memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pendidikan sekalipun di tengah-tengah wabak Covid-19.

Advertisement

Penolong Setiausaha Pendidikan, Pengurusan Sumber Manusia Kerajaan Selangor Siti Syazwani Abdul Latif menyifatkan pertambahan peruntukan tentunya memberi banyak manfaat kepada pelajar.

“Setakat ini, kita ada rancangan tapi masih pada peringkat perbincangan. Antara yang akan kita lakukan adalah menerapkan konsep pembelajaran fizikal selepas virus Covid-19 berakhir,” katanya, lapor SelangorKini.

Mereka juga sedang ligat mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah pelajar berpendapatan rendah (B40) yang berdepan kekangan capaian internet untuk mengikuti e-pembelajaran.

Advertisement

“Jika masih berlaku wabak, pelaksanaannya bakal dilakukan dalam talian. Tumpuan mengenai e-pembelajaran ini akan diberi kepada murid dari keluarga B40 di seluruh Selangor yang tidak memiliki akses atau capaian internet, yang ini kita sedang cari jalan penyelesaiannya,” katanya.

Kumpul data

PTRS juga giat mengumpulkan data untuk diserah kepada Kerajaan Negeri dalam masa terdekat bagi memberi gambaran lebih jelas berhubung perancangan selanjutnya.

Advertisement

“Pertemuan dijangka pada Disember atau Januari depan. Program ini juga akan diselaras dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor,” kata Siti Syazwani.

PTRS diperkenal pada Januari 2009 melalui Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) untuk membantu pelajar tingkatan lima dari keluarga berpendapatan rendah melalui tuisyen percuma untuk lima subjek teras iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, sejarah, matematik dan sains.

Ia bagi membantu pelajar dari keluarga berpendapatan bawah RM2,000 sebulan mengikuti tuisyen percuma

Advertisement

Langkah kerajaan Selangor yang menitikberatkan aspek pendidikan pelajar mendapat pujian Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), lebih-lebih lagi inisiatif pembelajaran maya menyediakan alternatif baru susulan penutupan sekolah.

Naib presidennya, Radin Muhd Imaduddin, juga seorang guru, menyifatkan pembelajaran secara maya penting bagi memastikan pendidikan murid tidak terjejas akibat wabak sebaliknya terus menimba ilmu dalam norma baharu.

“Saya harap pendidikan secara bersemuka dikurangkan, banyakkan atas talian. Saya gembira kesungguhan serta kepekaan kerajaan bagi memutuskan rantaian dan memastikan pendidikan sentiasa berjalan,” katanya yang turut berharap sekolah agama dan tahfiz yang dimiliki swasta diberi perhatian.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top