BM | EN | 中文

Damansara Assets kerjasama dengan Grab satukan peniaga pasar basah di bawah ‘JMart’

jcorp.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 1 SEPT: Cabang perkhidmatan hartanah Johor Corporation (JCorp), Damansara Assets Sdn Bhd (DASB), dengan sokongan Grab, melancarkan ‘JMart’, menyatukan peniaga pasar basah terpilih di Larkin Sentral di bawah satu bumbung digital.

Pengarah Urusan DASB Hazman Hilmi Sallahuddin berkata pelancaran JMart akan memberi peluang kepada pelanggan untuk mencampur dan memadankan pesanan mereka daripada pelbagai peniaga pasaran basah di Larkin Sentral serta meluaskan capaiannya kepada pelanggan di sekitarnya dengan Grab sebagai rakan platform penghantaran.

“Kami teruja untuk memperkenalkan JMart kepada pengguna di Johor Bahru, menyatukan peniaga pasar basah di hartanah di bawah pengurusan kami di bawah satu platform tunggal dan membantu mereka menjual hasil segar, ayann, dan makanan laut dalam talian.

Advertisement

“Dalam keadaan penularan pandemik COVID-19sekarang kami berhasrat membawakan kaedah baharu membeli belah secara selamat dan mudah.

“Inisiatif ini selari dengan pelan digital kami, pada masa yang sama, memberikan pengguna saluran baharu untuk terus membeli hasil segar daripada penyewa kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, ketua bahagian komersial dan perkongsian Grab Malaysia Tan Jiong Jian berkata sebagai pelaksana teknologi, ia mahu membantu peniaga tradisional kecil mengalihkan perniagaan mereka ke dalam talian menerusi ekosistem perkhidmatannya.

Advertisement

Beliau berkata dengan Iebih banyak pelanggan menggunakan perkhidmatan penghantaran bagi keperluan harian mereka, menyokong DASB sudah pastinya sejajar dengan usahanya ketika ini untuk membantu perniagaan menerima pakai teknologi bagi menyediakan barangan keperluan kepada jumlah pelanggan yang lebih besar.

“Dengan pelancaran JMart, kami yakin pengguna akan mendapati lebih mudah dan selesa membeli belah dalam talian dan barang runcit yang dibeli dihantar terus kepada mereka.

“Ini adalah cara yang lebih selamat dan menjimatkan kos untuk membeli pelbagai barangan runcit daripada peniaga pasar basah berbeza di bawah JMart.

Advertisement

“Dengan sokongan Grab, DASB akan dapat memberikan kemudahan kepada pelanggan, memastikan barang runcit mereka terus dihantar ke rumah mereka menerusi pelancaran JMart Specialty Store di Aplikasi Grab,” katanya.

Inisiatif ini bermula di Larkin Sentral, Johor Bahru dan seterusnya akan diikuti dengan tawaran tambahan di pasar basah di Pusat Perniagaan Taman Dahlia dan @Mart Kempas dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top