BM | EN | 中文

DAKWAAN PELANTIKAN AHLI LEMBAGA PELAWAT HOSPITAL DIHENTIKAN TAK BENAR

gmbr-fail-khuzzan.jpg

ISKANDAR PUTERI, 1 DIS: Dakwaan pelantikan Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) dihentikan adalah tidak benar, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Beliau malah berkata pada masa ini, seramai 156 ALPH telah dilantik bagi 11 buah hospital di seluruh negeri dengan setiap daripadanya mempunyai sekurang-kurangnya 10 ahli lembaga.

“Bilangan minima untuk penubuhan ALPH di sesebuah hospital adalah 10 orang kecuali Hospital Kota Tinggi yang hanya mempunyai sembilan orang ALPH mulai bulan lepas.

“Ini berikutan salah seorang ahli lembaga tersebut telah meletak jawatan atas sebab berpindah dan tidak lagi bermastautin di daerah tersebut,” katanya.

Khuzzan (PH-Semerah) berkata demikian menjawab soalan Gan Peck Chen (PH-Senggaram) berhubung isu ALPH diberhentikan dan sebab lantikan ahli tersebut diberhentikan, di Mesyuarat Ketiga (Belanjawan Johor 2020) Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-14 di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan masih menjalankan proses pelantikan ALPH bagi hospital-hospital di Johor yang masih mempunyai kekosongan keahlian lembaga tersebut.

“Usaha yang berterusan sedang diambil oleh Kementerian Kesihatan melalui Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor dan juga Pengarah Hospital.

“Ini adalah untuk mengenalpasti calon-calon yang berkelayakan daripada pelbagai latar belakang bagi mengisi kekosongan ALPH yang sedia ada di seluruh negeri Johor,” katanya.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top