BM | EN | 中文

Dakwaan ‘kehilangan’ dana RM1 bilion projek kapal tempur TLDM serius, perlu disiasat

kapal-tentera-Laut.jpeg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Dakwaan ‘kehilangan’ dana berjumlah RM1 bilion daripada projek kapal tempur pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah amat serius dan perlu disiasat.

Senator Liew Chin Tong berkata, keperluan TLDM terhadap kapal LCS tidak timbul, namun yang menjadi persoalan ialah cadangan ‘realistik’ kerajaan Perikatan Nasional menyasarkan hanya dua buah kapal disiapkan, sedangkan sejumlah RM6 bilion telah dibayar.

“Jumlah ini adalah dua pertiga daripada nilai siling RM9 bilion. Dengan jumlah ini, sepatutnya empat buah kapal sudah siap,” kata Chin Tong dalam satu kenyataan.

Advertisement

Tambah beliau, keputusan dicapai mantan perdana menteri, Tun Dr. Mahathir dan mantan menteri pertahanan Mohamad Sabu pada 11 Februari 2020 menggariskan keperluan menyiasat dakwaan kehilangan dana melalui audit forensik, mengembalikan dana tersebut, dan seterusnya mempertimbangkan suntikan dana untuk menyelamatkan projek terbabit.

Chin Tong memberitahu telah menjelaskan keputusan kerajaan Pakatan Harapan sebelum itu berkenaan hala tuju projek LCS di Dewan Negara, ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Seri Paduka Baging Yang di-Pertuan Agong, dan kemudian ketika sesi penggulungan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham.

“Timbalan Menteri Pertahanan sendiri turut bersetuju dengan cadangan tersebut dan menyatakan bahawa pihak kerajaan akan mempertimbangkannya.

Advertisement

“Setakat hari ini, selain pengiktirafan oleh Timbalan Menteri Pertahanan berkenaan cadangan saya, kerajaan masih belum lagi mengumumkan keputusan yang jelas bagi menentukan hala tuju projek ini.

“Saya ingin menyarankan sekali lagi kepada pihak kerajaan supaya tidak lagi berlengah dan membuat keputusan dengan cepat dan tepat,” tambah beliau.

Chin Tong turut menggesa pihak terlibat dibawa ke muka pengadilan dan kerajaan wajar mempertimbangkan suntikan dana demi memastikan projek itu disiapkan bagi kegunaan TLDM untuk terus memelihara kedaulatan perairan negara.

Advertisement

“Selagi mana tiada keputusan jelas dapat dicapai, selagi itulah kapal-kapal ini akan mengalami kelewatan,” katanya lagi

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top