Awal-awal kedatangan saya ke Guangzhou, saya fikir keadaannya seperti rakan-rakan di negara Eropah yang bebas menunaikan solat di tempat awam.
Sungguh pun begitu, saya masih teragak-agak untuk menunaikan solat di kawasan terbuka. Maklumlah ia seakan budaya Cina di sana apabila sesuatu yang pelik akan dipandang semacam oleh orang kebanyakan.
Sebagai contoh, pemakaian tudung juga boleh menarik perhatian mereka. Pernah sekali saya berjalan bersama rakan-rakan siswi dan sedang kami ingin melintas jalan, kelihatan beberapa orang yang memerhatikan kami khususnya mereka yang bertudung.
Pernah suatu hari ada seorang penunggang basikal sanggup menoleh ke belakang memandang perempuan bertudung sedangkan kaki masih mengayuh menghalakan basikal menuju ke depan. Mujurlah dia tak melanggar sesiapa.
Pada suatu hari, kami diminta oleh pihak universiti untuk melanjutkan tempoh visa di pejabat imigresen di sana. Urusannya mengambil masa panjang hinggakan waktu Zohor hampir tamat.

Laluan sempit menuju ke rumah pekerja restoran Muslim untuk kami menumpang solat
Untuk tidak terlepas menunaikan solat, rakan-rakan ajak kami solat seorang demi seorang di satu kawasan yang terlindung dengan tiang.
Baru seorang rakan kami memulakan solat, dia terpaksa batalkan disebabkan dihalau pengawal keselamatan. Pada mulanya memang tiada yang perasan sehinggalah datang seorang petugas yang sedang mengemop lantai di kawasan berdekatan.
Dia bising dan bingung melihat apakah perbuatan yang dilakukan rakan tadi. Akibatnya seorang demi seorang warga Cina menghampirinya lalu terbentuk seakan-akan bulatan yang memerhatikan suatu persembahan di tengah-tengahnya.
Keadaan bercakap-cakap antara sama satu lain telah menarik perhatian pengawal keselamatan yang berada agak jauh dari tempat itu. Dengan tidak semena-mena, dia datang kepada rakan yang sedang bersolat dan mengarahkannya pergi.
Begitulah sukarnya menunaikan solat di tempat awam di Guangzhou. Lantaran daripada pengalaman itu, saya berusaha sendiri untuk mencari kalau-kalau ada masjid berdekatan dengan kawasan yang saya pergi. Kalau sempat solat di rumah, itu lebih baik.
Pernah juga suatu ketika, kami terpaksa meminta jasa baik pekerja restoran Muslim untuk menumpangkan kami tempat untuk bersolat. Kami pun dibawa ke rumahnya yang daif hinggakan anak dan isteri dimintanya keluar sementara kami nak bersolat.
Rumahnya hanya ada satu ruang yang dijadikan ruang tamu dan bilik tidur. Walaupun serba salah dibuatnya, menunaikan solat itu kewajipan yang lebih utama.
Maka, kami pun segera menunaikan solat.

Kami bersolat di rumah pekerja restoran Muslim
Dalam satu pengalaman lain, kami pernah menunaikan solat secara berjemaah di tempat awam sewaktu menuju ke Zhang Long (长隆欢乐世界), taman tema terbesar di Asia. Alhamdulillah, tiada gangguan kerana tempat itu sedikit terselindung dan gelap.
Pada waktu itu, kami menunaikan solat Maghrib. Jadi, sudah tentulah surah dibacakan secara jahar (suara kuat). Mujur tak menarik perhatian sesiapa yang lalu lalang.
Mungkin mereka ingin bergegas ke tempat pertunjukan sarkas pada malam itu agaknya. Di sini ketepatan masa itu penting. Jika kita lewat masuk, rugilah membayar tiket yang mahal kerana terlepas persembahan awal yang menarik.
Setelah sekian lama memerhatikan gelagat masyarakat Guangzhou, barulah saya tahu yang kita perlu bijak mencari tempat dan kawasan yang sesuai untuk menunaikan solat di tempat awam. Tidak seperti di Eropah, kita bebas melaksanakannya di tempat terbuka.
Pengalaman ini juga telah mendesak saya untuk mencari masjid-masjid terdekat dan ternyata memang kebanyakan tempat yang dikunjungi ada masjid berdekatan. Walaupun terpaksa berjalan kaki sejauh dua kilometer, itu sudah dikira dekat.
Bagi anda yang kini berada di Malaysia, hargailah ruang masa dan peluang untuk menunaikan solat dengan baik. Ke mana sahaja kita pergi, tentu ada surau atau masjid yang sangat hampir dengan kita. Tiada alasan untuk tidak menunaikannya.
Pusat membeli belah pun ada menyediakan surau. Namun, sayang sekali jika kita mensia-siakan peluang yang Allah berikan ini. Takut-takut suatu hari nanti, ditarik pula nikmat ini dan kita menjadi susah untuk menunaikan solat seperti pengalaman saya di Guangzhou dahulu.
Johorkini