JOHOR BAHRU, 23 DIS: Seramai 12 kru kapal Indonesia yang diburu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana disyaki merompak 1.8 juta liter minyak diesel, sudah melarikan diri.
Pengarah Maritim Malaysia (Johor), Laksamana Pertama Maritim, Nurul Hizam Zakaria, berkata siasatan awal mendapat mereka melarikan diri selepas Notis Merah dikeluarkan Polis Antarabangsa (INTERPOL).
Katanya, mereka merompak diesel bernilai RM4.86 juta dalam kejadian 5 Disember lalu.
“Tiada maklumat lanjut yang pihak kami perolehi setakat ini.
“Mereka disyaki melarikan diri ke negara asal, selepas Notis Merah dikeluarkan INTERPOL,” katanya, lapor BH Online.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau mengenali 12 suspek terbabit diminta menghubungi Komander (M) Mohd Affandi Ismall (03-89957935) atau Leftenan (M) Mohd Feerdaus Bin Daud (pegawal penyiasat 07 8916595).
Sebelum ini, Maritim Malaysia memburu 12 suspek iaitu kru kapal MT Ocean Pride berhubung rompakan sejumlah besar minyak diesel, sebelum meninggalkan kapal terbabit dekat Tanjung Siang, Kota Tinggi.
Suspek yang diburu ialah Haryadi Tri Tomi dengan nombor pasport B9706316, Mangalik Despiandri (C7309394), Nordiansyah Muhammat (C1366351), Pasaribu Suherri Nanda (C2081744), Pinem Jendri (C6787829) dan Prasetyo Agung (C7021189).
Turut diburu Saputra Pandu Prasetya (C7573439), Siddiq Muhammad (C7309737), Silaban Rusman (B6670491), Syahputra Haloho Marnaek (C7307752), Tarigan Harry Pranata (C7308182) dan Yusran (C3899964).
Suspek disyaki melakukan kesalahan mengikut seksyen 380 dan seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Johorkini