BM | EN | 中文

Cukai harta Johor 2021 kekal ikut kadar sedia ada

johor-kota-iskandar.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 15 DIS: Kadar cukai harta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor bagi 2021 kekal mengikut kadar sedia ada, kata Menteri Besar Datuk Hasni Mohamad.

Beliau berkata pengecualian terhadap cukai harta rumah kos rendah bagi 2021 tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan dengan Seksyen 134 dan Seksyen 135 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Pada masa ini pengecualian cukai hanya tertakluk untuk tempat awam, tanah perkuburan, sekolah awam dan tempat awam bagi maksud khairat atau bagi sains sastera atau seni halus seperti yang termaktub mengikut Seksyen 134 akta itu, katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisement

Sehubungan itu kata Hasni, sebarang penambahan pengecualian menerusi seksyen itu tidak boleh terus dilakukan melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, sebaliknya mesti menerusi proses rundingan dengan kerajaan persekutuan.

Beliau berkata sekiranya rundingan pengecualian cukai harta bagi rumah kos rendah telah ditetapkan mengikut seksyen sedia ada, maka perkara berkenaan dibahaskan di DUN Johor untuk mendapatkan persetujuan sama ada cukai untuk rumah kos rendah akan dikecualikan ataupun tidak.

“Kerajaan negeri Johor mengambil maklum mengenai usul yang dibawa oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Negeri Pekan Nanas (Yeo Tung Siong) yang mencadangkan supaya kerajaan memberikan pengecualian cukai harta bagi rumah kos rendah kepada rakyat yang terkesan oleh pandemik COVID-19.

Advertisement

“Saya berharap perkara ini jelas bagi menjawab persoalan daripada pemimpin Pakatan Harapan (PH) Johor yang kesal apabila usul yang dibawa itu ditewaskan menerusi undi belah bahagian 29-27 pada Persidangan DUN Johor.

“Penolakan usul berkenaan bukan disebabkan kerajaan negeri tidak bersetuju dengan usul dibawa oleh ADUN Pekan Nanas, tetapi usul itu perlulah mengikut prosedur dan saluran yang betul,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri bersetuju untuk mengkaji semula pelaksanaan kerja-kerja penilaian semula cukai harta bagi semua PBT di negeri itu ekoran pandemik COVID-19.

Advertisement

Kerajaan Johor memahami keluh-kesah rakyat di semua peringkat yang terkesan oleh COVID-19 dan pelbagai pendekatan sudah diambil bagi membantu rakyat dan kerajaan negeri Johor akan terus mempergiatkan usaha mencari jalan terbaik untuk meringankan beban rakyat, sekali gus memulihkan ekonomi negeri supaya kembali rancak, katanya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top