BM | EN | 中文

Cubaan seludup keluar syabu di Tanjung Piai gagal

APMM-tahan-penghantar-cubaan-seludup-keluar-syabu-gagal.jpg

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid (dua dari kiri) menunjukkan syabu yang dirampas (Gambar Ehsan FB Otai Johor)

Advertisement

JOHOR BAHRU, 19 JUL: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor menggagalkan cubaan menyeludup keluar dadah disyaki syabu, seberat 3.2 kilogram dianggar bernilai RM160,000, dengan penahanan seorang penghantar dadah di perairan Tanjung Piai, Pontian, dua hari lepas.

Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, lelaki tempatan berumur 38 tahun dan menyamar sebagai nelayan itu, ditahan pada 3.30 pagi oleh anggota APMM yang melakukan rondaan Op Benteng Laut, di perairan itu.

Katanya, ketika ditahan, suspek yang telah berkeluarga dan tinggal di Gelang Patah, dipercayai sedang dalam perjalanan ke Pulau Nipah, Indonesia, melalui kawasan Pendas, Gelang Patah, untuk menghantar dadah sambil berpura-pura sedang merawai (menangkap ikan) di perairan berkenaan.

Advertisement

“Lelaki itu cuba membuang beberapa tong plastik dari bot fiber dinaikinya ke dalam laut, selepas menyedari dia dihampiri bot peronda APMM, di kedudukan kira-kira 3.8 batu nautika tenggara Tanjung Piai,” katanya.

Terdahulu, Bernama memetik Aminuddin sebagai berkata, menerusi pemeriksaan yang dilakukan, anggota APMM berjaya menemukan beberapa tong plastik yang disorok di bawah tempat duduk lelaki itu.

Pihaknya menemui beberapa bungkusan plastik serbuk kristal, dipercayai dadah jenis syabu dan dipercayai dadah itu adalah untuk pasaran Indonesia kerana harganya meningkat tiga kali ganda, daripada harga di negara ini.

Advertisement

“Lelaki itu dipercayai menerima dadah berkenaan daripada seseorang dan hanya menghantar ke Pulau Nipah, untuk diserahkan pula kepada orang lain.

“Dia dipercayai aktif dalam aktiviti tersebut sejak 2012 dan menerima wang pendahuluan penghantaran antara RM2,000 dan RM4,000,” katanya, sambil menambah siasatan awal turut mendapati terdapat sejumlah besar wang turut didepositkan ke dalam akaun bank lelaki itu, yang dipercayai hasil aktiviti berkenaan.

Aminuddin berkata, lelaki terbabit yang positif dadah jenis syabu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala bot fiber, enjin sangkut 60 kuasa kuda, serta sebuah kereta Toyota miliknya, turut dirampas.

Advertisement

Sehubungan penahanan itu Aminuddin berkata, agensi tersebut kini sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui sumber dadah itu diperolehi, dan dalam masa sama, menasihati orang ramai khususnya komuniti nelayan, supaya bekerjasama terhadap APMM dengan menyalurkan maklumat ke Pusat Operasi Maritim Negeri Johor, di talian 07-2199404.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top