BM | EN | 中文

CRM tawar penurunan harga projek ETS Gemas-JB 22 peratus

wee-ka-siong.jpg

Wee Ka Sioang (Gambar Ehsan The Star)

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Kerajaan melantik syarikat CRRC Rolling Stock (Malaysia) Sdn Bhd (CRM) bagi perolehan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) satu set enam gerabak yang baharu selepas syarikat itu menawarkan penurunan harga sebanyak 22 peratus.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata penurunan harga tersebut memberi penjimatan kira-kira RM80 juta kepada kerajaan.

“Terdapat tiga syarikat tempatan sahaja yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan (MOF) melalui kod bidang pembuatan, namun hanya dua syarikat pembuatan tempatan sahaja yang aktif di dalam pembuatan dan pemasangan rolling stocks atau pengangkutan rel termasuk syarikat luar yang sudah melabur dan membina kilang mereka di Malaysia,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Anthony Loke Siew Fook (PH-Seremban) mengenai butiran terperinci perolehan rolling stocks untuk perkhidmatan ETS Gemas-Johor Bahru termasuk kos perolehan, syarikat pembekal, kaedah perolehan dan butiran lain.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi pada 30 Oktober 2017 meluluskan perolehan rolling stocks ETS Gemas-Johor Bahru dengan kos keseluruhan projek sebanyak RM587 juta.

Beliau berkata, bagi menyokong pelan perkhidmatan ETS secara keseluruhan dan selaras dengan penyiapan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru yang dijangka pada Jun 2023, satu pelawaan tender dimuat naik ke laman sesawang Kementerian Pengangkutan pada 23 Januari 2020 dan satu taklimat tender diadakan pada 3 Februari 2020.

Beliau berkata, 29 syarikat tempatan hadir semasa taklimat tender tersebut dan 17 syarikat membeli dokumen tender.

Proses penilaian kewangan dan teknikal bermula antara 18 Mei 2020 dan berakhir pada 5 Jun 2020.

“Berdasarkan kepada skop dan kos yang ditetapkan, hanya tiga syarikat sahaja yang mengambil bahagian di dalam proses tender perolehan ini.

“Satu laporan penilaian tender perolehan ini sudah dibentang kepada Lembaga Perolehan Kementerian Pengangkutan yang bersidang pada 23 Jun 2020, namun tiada petender yang lulus bagi kedua-dua penilaian kewangan dan teknikal di dalam perolehan ini,” katanya.

Ka Siong berkata, satu semakan dan kajian pasaran dilaksanakan semula bagi meneliti keperluan sebenar dan daripada itu, hanya tiga syarikat tempatan sahaja yang berdaftar dengan MOF melalui kod bidang pembuatan.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top