JOHOR BAHRU, 14 JUL: Pakatan Harapan (PH) Johor berpandangan langkah meningkatkan jumlah ujian saringan adalah amat perlu untuk menggerakkan sektor-sektor penting ekonomi di negeri ini.
PH Johor dalam satu kenyataan hari ini berkata, gabungan itu lebih awal menyarankan saringan secara besar-besaran untuk memastikan pengurusan Covid-19 di negeri ini dapat dilakukan secara lebih bersasar dan menyeluruh.
“Sudah masanya untuk Johor berbincang dan berbahas bagaimana untuk membuka semula kilang dan tempat kerja dengan selamat melalui pelaksanaan ujian saringan besar-besaran menggunakan kit RTK-Ag atau kit saringan kendiri.
“Sebagai contoh, jika semua kilang dan tempat kerja boleh menjalankan saringan sebanyak tiga kali seminggu untuk pekerja mengikut skala penjadualan yang teratur, kami pasti ini adalah pendekatan yang lebih baik berbanding sekatan pergerakan penuh atau ‘lockdown’ yang
berlarutan,” menurutnya.
Kenyataan PH Johor itu ditandatangani oleh Aminolhuda Hassan, Ketua Pembangkang DUN Johor yang juga Adun Parit Yaani, Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi PKR Johor yang juga ahli parlimen Ledang dan Senator Liew Chin Tong, Pengerusi DAP Johor.
Tambah kenyataan itu, kerajaan Johor tidak boleh berpusa hati dengan pendekatan ‘apabila semakin sedikit saringan dibuat semakin kurang kes
dikesan’.
“Ini tidak membantu sama sekali. Kita tidak wajar menipu diri sendiri dengan beranggapan bahawa pendekatan seperti ini mampu membantu memulihkan keadaan seperti sedia kala.
“Bahkan, rakyat sudah lebih arif meneliti angka-angka yang dilaporkan dan bijak mentafsir kadar positif.
“Kita perlu menerima hakikat virus ini tidak akan lenyap begitu sahaja.
“Dengan melaksanakan ujian saringan secara besar-besaran, kita dapat melihat gambaran sebenar penularan dan bersedia untuk mengurusnya dengan lebih berkesan,” katanya lagi.
Johorkini