KUALA LUMPUR, 22 MAC: Dua lagi kematian akibat Covid-19 dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia sehingga kini akibat wabak itu di Malaysia ialah 10 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian itu masing-masing melibatkan kes ke-890 iaitu doktor perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan kes ke-259 iaitu daripada kluster tabligh di Sri Petaling.
“Kes kesembilan merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 48 tahun. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara ke Turki.
“Beliau merupakan kakitangan KKM yang sebelum ini dirawat di ICU Hospital Tuanku Fauziah, Kangar,” katanya, lapor Bernama.
Pada sidang media mengenai Covid-19 di Putrajaya hari ini Dr Noor Hisham berkata mangsa disahkan meninggal dunia hari ini pada 10.30 pagi.
Kes kematian ke-10 pula melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 74 tahun daripada kluster tabligh yang telah disahkan positif Covid-19 pada 14 Mac lepas dan diberikan bantuan alatan pernafasan setelah keadaannya semakin merosot.
“Beliau telah disahkan positif Covid-19 pada 14 Mac. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 4.05 petang, 22 Mac,” katanya.
Sehingga 22 Mac 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 123 kes baharu yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,306 kes.
Berdasarkan siasatan awal, daripada 123 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 74 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling. 49 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster dan masih lagi dalam siasatan untuk kepastian.
Sehingga kini, seramai 46 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 22 memerlukan bantuan pernafasan.
Johorkini