SHAH ALAM, 12 MAC: Penduduk sekitar Subang Jaya, Shah Alam dan Bandar Bukit Puchong digalak menyertai program saringan percuma Covid-19 pada esok dan Ahad.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lokasi tumpuan meliputi Dewan Serbaguna MPSJ di Bandar Bukit Puchong dan Taman Batu Tiga, Subang Jaya pada Sabtu.
Beliau memaklumkan program sama turut berlangsung serentak di Dewan Seroja MBSA Seksyen 27, Shah Alam dan Dewan Serbaguna MPSJ, USJ 7 pada Ahad.
“Penduduk yang menetap di kawasan berhampiran dijemput dan digalakkan untuk menjalani ujian Covid-19 percuma dari jam 9 pagi hingga 4 petang,” katanya, lapor SelangorKini.
Terdahulumelalui Twitter pada 20 Februari, Amirudin berkata program berkenaan akan diteruskan di kawasan berisiko yang jumlah kes positif berpotensi melonjak antaranya rumah penjagaan warga emas.
Beliau menjelaskan lokasi saringan ditentukan berdasarkan data dan perbincangan antara Kerajaan Negeri dan pusat kesihatan daerah.
Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.
Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.
Johorkini