ISKANDAR PUTERI, 23 JUL: Kerajaan perlu merombak semula dasar komunikasi kerana di zaman media sosial, kebenaran tidak mungkin disembunyikan dari orang ramai.
Ahli parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, kerajaan perlu mengembailkan keyakinan orang ramai dengan dasar kebenaran dan ketelusan.
Katanya, Malaysia berkemungkinan mengatasi Pakistan yang kini di kedudukan ke-30 antara negara-negara dengan jumlah kes Covid-19 kumulatif yang mencecah angka sejuta untuk kes Covid-19 ketika Parlimen bersidang Isnin nanti.
“Di ambang bergabung ‘Kelab 31’ negara dengan jumlah kumulatif lebih sejuta kes Covid-19, kita harus bersedia menilai semula.
“Kita mungkin telah salah dalam perang melawan pandemik Covid-19 dan perlu merombak semula dasar komunikasi, di zaman media sosial, tidak mungkin kebenaran disembunyikan dari orang ramai,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Kit Siang, kerajaan tidak boleh menafikan bahawa Malaysia berdepan krisis, apabila Hospital Selayang telah bertukar dari hospital hibrid menjadi hospital Covid-19 penuh ketiga selepas Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang kerana jangkitan Covid-19 yang sangat tinggi.
“Usaha kerajaan menolak laporan melalui video keadaan hospital awam di Lembah Klang hanya mengurangkan kepercayaan orang ramai.
“Ketika ini sangat penting untuk mendapatkan kembali kepercayaan masyarakat dengan dasar kebenaran dan ketelusan,”katanya lagi
Tambah beliau, sekiranya hospital di Wuhan, China dengan kapasiti 1,000 katil boleh dibina dalam 10 hari mengapa Malaysia tidak dapat membina hospital sementara di Lembah Klang untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat.
“Seperti yang telah saya peringatkan lebih seminggu lalu, pentadbiran Muhyiddin harus memastikan krisis oksigen yang berlaku baru-baru ini sehingga melumpuhkan negara India tidak berlaku di Malaysia.
“Kini masanya untuk menggubal dasar baru bagi memerangi pandemik Covid-19 dan tidak mengulangi kesilapan 18 bulan dahulu.
“Adakah mesyuarat Parlimen Isnin nanti akan menandakan dasar dan strategi baru untuk memerangi pandemik Covid-19 atau adakah kesilapan masa lalu akan diulangi,” kata Kit Siang lagi.
Johorkini