SEGAMAT, 14 SEPT: Kerajaan Johor masih memiliki rizab kewangan yang kukuh dan wajar digunakan untuk membantu rakyat lantaran pandemik Covid-19.
Adun Jementah, Tan Chen Choon berkata antara pihak yang perlu diutamakan bagi mendapat bantuan adalah golongan B40 dan mereka yang menghadapi masalah pengangguran.
Katanya, peruntukan ‘one-off’ kerajaan negeri berjumlah RM20,000 Mac lalu kepada 56 orang ADUN sebelum ini tidak mencukupi dan telah habis digunakan.
“Kebijaksanaan pentadbiran dan pengurusan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama dua tahun, rezab negeri Johor telah mencatat RM3.068 billion pada akhir tahun 2019.
“Tambahan lagi, peruntukan bantuan Covid-19 daripada kerajaan Persekutuan sebanyak RM130 juta, negeri Johor kini mempunyai rezab sebanyak 3.198 billion.
“Walaupun kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 174 juta dalam pakej rangsangan ekonomi Covid-19 negeri Johor Siri 1 dan Siri 2, namun peruntukan tersebut adalah tidak mencukupi bagi menangani krisis wabak Covid-19.
“Saya menyeru agar kerajaan Johor menambah peruntukan Adun Johor demi membantu dan meringankan impak ekonomi masyarakat di kawasan masing-masing terutamanya golongan B40 dan para penganggur susulan pandaemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tan menambah, beliau memahami pertumbuhan ekonomi negeri Johor pada 2020 amat perlahan berbanding tahun-tahun sebelumnya akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Pemulihan dan
lanjutan PKP Pemulihan.
“Saya percaya rakyat Johor tidak menyalahkan kerajaan negeri sekiranya penyata kewangan kerajaan negeri Johor defisit disebabkan usaha membantu rakyat dalam tempoh krisis ekonomi Covid-19.
“Saya menyeru agar Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dapat mempertimbangkan dan menerima cadangan saya sebagai salah seorang ADUN Johor,” katanya lagi.
Johorkini