JOHOR BAHRU, 9 JUL: Penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit COVID-19 di negeri ini mencatatkan penurunan, kata Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan.
Beliau berkata, walaupun penggunaan katil ICU COVID-19 masih di tahap terhad, ia menunjukkan trend penurunan mulai pertengahan bulan lalu.
“Terdapat 160 katil ICU di hospital kerajaan Johor, termasuk di ruang yang diubahsuai, dengan 108 katil dikhususkan bagi merawat pesakit COVID-19.
“Pada Selasa lalu, kapasiti penggunaan katil ICU COVID-19 adalah 78 peratus, iaitu seramai 68 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.
“Mulai pertengahan bulan lalu, kapasiti penggunaan katil pada tahap 77 hingga 85 peratus, berbanding Mei sebelumnya antara 90 hingga 97 peratus,” katanya, lapor Berita Harian.
Katanya, semua 12 hospital kerajaan berstatus hibrid iaitu pesakit dan bukan pesakit COVID-19 boleh mendapatkan rawatan sama ada sebagai pesakit luar atau pesakit dalam, termasuk mengendalikan kes kelahiran bayi.
“Terdapat ruang di dewan bedah yang masih digunakan sebagai ruang rawatan pesakit kritikal dan petugas kesihatan juga terbabit dalam mobilisasi dalaman bagi membantu pengurusan kes COVID-19 di hospital masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini kumulatif penerima vaksin bagi suntikan dos pertama di Johor adalah sebanyak 481,607 (17.2 peratus) dan daripada jumlah itu, 303,087 (10.8 peratus) sudah lengkap menerima dos kedua.
Johorkini