BM | EN | 中文

Covid-19: Malaysia sekat kemasukan pelawat Itali, Jepun dan Iran

IMG-20200305-WA0019.jpg
Advertisement

PUTRAJAYA, 5 MAC: Malaysia menyekat sementara kemasukan semua pelawat yang berada atau pernah berkunjung ke bandar atau wilayah di Itali, Jepun dan Iran dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sekatan sementara berkuat kuasa serta-merta melibatkan bandar Lombardy, Veneto dan Emilia-Romagna di Itali; Hokkaido di Jepun; dan Tehran, Qom dan Gilan di Iran itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Penyakit Coronavirus (COVID-19) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali hari ini.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat yang berlangsung di bangunan Perdana Putra di sini, Noor Hisham berkata sekatan itu turut meliputi semua pelawat tanpa mengira warganegara yang berada atau pernah berkunjung ke bandar atau wilayah itu dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan di Malaysia.

Advertisement

“Mengambil kira status semasa penularan COVID-19 di negara ini, mesyuarat antara lain memutuskan agar rakyat Malaysia yang berada di bandar atau wilayah itu mengambil langkah berjaga-jaga, meningkatkan penjagaan kesihatan diri dan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Selain itu, rakyat Malaysia di luar negara juga digalak untuk mendaftar diri dengan Kedutaan Malaysia yang berhampiran,” katanya, lapor Bernama.

Sebelum ini, Malaysia juga telah memutuskan menyekat sementara kemasukan pelawat dari Korea Selatan serta beberapa wilayah di China selepas penularan wabak tersebut yang semakin membimbangkan.

Advertisement

Noor Hisham berkata arahan sekatan sementara kemasukan turut melibatkan semua pelawat kecuali warganegara, pemastautin tetap, pemegang pas sosial dan pas pelajar Malaysia yang berada atau berkunjung ke bandar atau wilayah itu dalam tempoh 14 hari sebelum memasuki negara ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata pejabat atau organisasi yang dikesan mempunyai kes positif COVID-19 tidak perlu membuat penutupan pejabat sebaliknya memadai dengan hanya menjalankan pembersihan dan nyah kuman atau disinfeksi dengan kerap di kawasan yang selalu disentuh.

Beliau berkata ia bagi mengelak keadaan panik di pejabat apabila terdapat kes positif atau disyaki dalam kalangan anggota agensi.

Advertisement

Anggota yang dikenal pasti sebagai kontak rapat oleh Kementerian Kesihatan akan dibuat saringan kesihatan dengan mereka yang berkenaan perlu bertenang dan memberikan kerjasama dengan memberikan maklumat yang tepat apabila dihubungi petugas kesihatan.

“Pada masa yang sama, semua pihak diminta tidak menularkan sebarang maklumat yang boleh menyebabkan kebimbangan kepada orang awam,” katanya dan menambah pihaknya telah menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan berita palsu berkaitan COVID-19 yang ditularkan di media sosial.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top