KUALA LUMPUR, 23 MAC: Satu lagi kematian akibat Covid-19 dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia sehingga kini akibat wabak itu di Malaysia ialah 11 orang.
Menurut kenyatan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia kematian tersebut melibatkan kes ke-1070, merupakan seorang warganegara Malaysia berusia 70 tahun dengan latarbelakang penyakit kronik.
“Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat satu (1) lagi pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 yang telah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.
“Pelaporan terbaharu ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak sebelas (11) orang setakat ini,” kenyataan KKM dipetik.
Dalam pada itu beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia pada bulan Februari 2020 dan KKM juga dimaklumkan bahawa beliau merupakan Pengerusi surau kawasan setempat beliau.
“Beliau telah mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM pada 18 Mac 2020.
“Beliau telah disahkan positif COVID-19 pada 19 Mac 2020 dan diberi bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Kesihatannya merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 22 Mac 2020 jam 9.05 malam,” tambah kenyataan tersebut.
Kami di Johorkini mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pesakit.
Johorkini