KOTA TINGGI, 22 NOV: Satu kluster baharu kes jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) dikesan di negeri ini semalam iaitu Kluster Kota Kecil di daerah Kota Tinggi membabitkan tiga kes sehingga kini.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan semalam berkata, kes indeks bagi Kluster Kota Kecil ini dikesan positif hasil saringan individu bergejala pada 15 November lepas.
“Sehingga 21 November 2020, sejumlah 467 individu telah disaring, di mana sembilan (9) kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.
“Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang,” meunurut kenyatan tersebut.
Sementara itu, Exco Kesihatan Johor, R Vidyanathan berkata, seramai 467 individu telah disaring, di mana sembilan kes telah dikesan positif dalam kluster ini dan dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
“Sebanyak 33 kes baharu yang dilaporkan semalam, iaitu 20 kes daripada kluster-kluster, termasuk tiga kes daripada Kluster Kota Kecil, lapan daripada saringan kontak rapat kes positif dan lima kes daripada lain-lain saringan Covid-19.
“Sembilan kluster yang masih aktif di negeri ini iaitu Kluster Kota Kecil (kluster baharu), Kluster Makmur, Kluster Kiambang, Kluster Parit Kassan, Kluster Jeri, Kluster Meldrum, Kluster Bayu, Kluster Kempas dan Kluster Padang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, peningkatan kes yang dilaporkan sehingga kini, disebabkan pencarian kes secara aktif (ACD) dan aktiviti survelans yang dipertingkatkan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri bagi mengekang penularan Covid-19.
“Pemerhatian aktiviti ACD mendapati kerap berlaku kes bergejala tidak mendapatkan rawatan dengan segera.
“Oleh itu, jika terdapat gejala seperti demam, batuk, sukar bernafas dan lain-lain lagi, dapatkan rawatan segera kerana mungkin dijangkiti Covid-19,” katanya.
Johorkini