MELAKA, 20 APR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal menangani krisis berganda susulan gelombang ketiga jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat.
Ahli parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, ketidakstabilan politik menjadi kronik selain tekanan ekonomi semakin parah bagi perniagaan dan pekerjaan.
Ujarnya, jangkitan Covid-19 (Rt) di Malaysia mencapai tahap baru tertinggi tahun ini iaitu 1.18 pada 16 April 2021 di mana semakin tinggi bilangan Rt di atas 1.0, semakin besar pertumbuhan eksponen dalam jumlah jangkitan.
“Ketika perintah darurat diisytiharkan pada 11 Januari bersama perintah kawalan pergerakan (PKP), Rt Malaysia adalah 1.11.
“Lebih dari tiga bulan selepas darurat, Rt tidak turun di bawah 1.11 malah meningkat menjadi 1.18.
“Jelas kerajaan PN yang menggunakan darurat telah gagal menangani krisis kesihatan awam yang menyebabkan Malaysia mencatatkan jumlah jangkitan COVID-19 tertinggi di ASEAN dari segi per kapita,” kata Guan Eng.
Beliau berkata demikian pada konvensyen DAP Melaka, Ahad lalu,
Tambah beliau, darurat dan penggantungan Parlimen tidak berkesan membendung lonjakan jangkitan COVID-19, memerlukan parlimen dibuka semula dengan segera.
“Parlimen tidak boleh digantung dan keadaan politik yang terawang-awang hanya kerana Muhyiddin telah kehilangan majoriti parlimen berikutan perpecahan terbuka dengan UMNO.
“Tidak ada alasan untuk tidak membenarkan 220 Ahli Parlimen yang telah diberi vaksin untuk bersidang di Parlimen, ketika semua pusat perniagaan, sekolah, pasar malam dan bahkan stadium sukan boleh dibuka semula,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, kemarahan orang ramai terhadap amalan dua darjat meningkat, di mana orang awam dihukum tetapi tiada tindakan atau hukuman ringan terhadap menteri seperti Azmin Ali, Annuar Musa, Zuraida Kamarudin, Khairuddin Aman Razali dan Edmund Santhara kerana melanggar sekatan PKP dan SOP kuarantin.
Dalam masa yang sama kata Guan Eng, kurang dari dua peratus dari populasi Malaysia menerima sekurang-kurangnya satu daripada dua dos vaksin.
“Keyakinan orang ramai yang telah hancur berkali-kali disebabkan pengurusan krisis yang gagal dan amalan dua darjat.
“Bertambah teruk dengan kelembaban pelaksanaan program vaksinasi negara, bekalan vaksin terhad dan kadar pendaftaran rendah,” ujarnya lagi.
Johorkini