JOHOR BAHRU, 8 OKT: Kerajaan negeri Johor menangguhkan sementara program berskala besar dan melibatkan jumlah penyertaan yang ramai susulan situasi kes COVID-19, ketika ini.
Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohamad berkata keputusan berkenaan dibuat pada mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Johor, semalam.
“Semalam kita (Kerajaan Negeri Johor) telah dalam Mesyuarat Mingguan Exco, bersetuju supaya kita akan menumpukan kepada program-program yang berskala kecil, program-program penting dan mesyuarat-mesyuarat penting sahaja.
“Selebihnya perlu kita tangguh kerana kita menyedari terdapatnya keadaan di mana pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) sudah mula tergugat,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Induk Johor Sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa 2021-2025, di sini, hari ini.
Tambahnya, bahawa ada yang sudah tidak lagi bimbang untuk berada dalam kumpulan besar, malah, kadang kala pengamalan mengambil suhu dan memakai pelitup muka itu hanya pada tempat dan masa tertentu.
Hasni berkata bagi mengelakkan semua pihak tidak memandang ringan terhadap hal-hal berhubung penularan COVID-19, maka, seeloknya Kerajaan Negeri Johor menunjukkan contoh dengan tidak menganjurkan program melibatkan penyertaan ramai.
Sementara itu, beliau menasihati organisasi luar agar mengambil pendekatan sama yang dilakukan Kerajaan Negeri Johor bagi membendung penularan wabak berkenaan termasuk penganjuran program melibatkan aktiviti perayaan dan keagamaan.
Johorkini