KUALA LUMPUR, 29 JUN: Laporan Bloomberg menyatakan bahawa Malaysia telah jatuh ke tangga ke-51 daripada 53 negara dengan nilai ekonomi berjumlah lebih AS$200 bilion dalam Tahap Ketahanan Covid-19 Bloomberg untuk bulan Jun 2021.
Susulan itu ahli parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata, perkembangan terbaru itu sangat memalukan Malaysia dan sidang parlimen perlu diadakan untuk menyelesaikan krisis kesihatan dan ekonomi.
“Selepas lima bulan darurat dan 28 hari sekatan pergerakan penuh, kita telah jatuh 35 anak tangga ke tangga ke-51 dalam carta terkini untuk bulan Jun 2021.
“Ini adalah keputusan paling memalukan #KerajaanGagal Muhyiddin dalam perang melawan Covid-19,” kata veteran DAP itu.
Semasa darurat diisytiharkan pada 11 Januari dengan alasan untuk melawan Covid-19, Malaysia berada pada kedudukan ke-16 dalam Tahap Ketahanan Covid-19 Bloomberg.
Terdahulu, Kit Siang dilaporkan Roketkini berkata, strategi bantuan PEMULIH bernilai RM150 bilion yang diumumkan Perdan Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam sekadar gimik yang tidak berkesan untuk melawan Covid-19.
“Kabinet yang bermesyuarat esok harus memutuskan untuk mengadakan sidang Parlimen sebelum 1 Ogos untuk menerajui gabungan ‘Menang Perang Melawan Pandemik Covid-19’,” tambah Kit Siang lagi.
Johorkini