JOHOR BAHRU, 14 MAC: KIra-kira 1,000 doktor pelatih di hospital kerajaan bakal ditempatkan di seluruh negara bagi membantu melicinkan operasi harian susulan penularan COVID-19.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kesemua doktor pelatih akan menjalani induksi selama lima hari mulai Isnin, termasuk berkaitan pengendalian elemen COVID-19.
Katanya, langkah segera itu bagi meredakan bebanan doktor sedia ada yang menumpukan perhatian pada kes COVID-19.
“Mereka kena melalui kursus induksi dan kita akan mahirkan mereka dengan elemen COVID-19 sebelum masuk ke sistem KKM,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat berhubung situasi COVID-19 di Hospital Permai di sini hari ini, lapor Bernama.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan dan Pengarah Kesihatan Johor Dr Aman Rabu.
Dalam pada itu katanya, Kementerian Kesihatan turut menyarankan hospital swasta supaya mengehadkan waktu lawatan seperti yang dilakukan hospital kerajaan sebagai langkah mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.
“Kita sudah minta kerjasama hospital swasta supaya lebih tegas dalam hal ini, dan terkini kita buat persefahaman dengan hospital swasta dalam menangani COVID-19,” katanya lagi.
Johorkini