PONTIAN, 31 JAN: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor menerusi Pejabat Kesihatan Daerah Pontian bekerjasama dengan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) untuk memeriksa penumpang di Terminal Feri Antarabangsa Kukup susulan penularan wabak coronavirus.
Sesi penerangan mengenai langkah mencegah jangkitan itu turut diberi kepada kakitangan PAJ yang mengendalikan operasi di Terminal Feri Antarabarangsa Kukup, Jabatan Laut dan agensi berkaitan.
Pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Pontian, Dr Surinah Asan berkata, pihaknya mengambil serius penularan wabak coronavirus dengan mengambil langkah pencegahan dan melakukan saringan kesihatan kepada penumpang feri di Kukup.
Katanya, Terminal Feri Antarabangsa Kukup merupakan pintu masuk laluan laut yang utama di negeri ini dengan menghubungkan Tanjung Balai, Indonesia.
“Difahamkan terdapat lima slot perjalanan feri yg membawa penumpang masuk ke jeti ini setiap hari.
“Justeru itu Pejabat Kesihatan Daerah Pontian menempatkan anggota pada setiap masa untuk melakukan saringan ke atas semua penumpang feri,” katanya.
Tambahnya, penumpang yang dikesan mempunyai suhu 38 darjah celsius dan ke atas akan diasing, diperiksa dan kemudiannya dirujuk ke hospital.
Jelasnya, langkah tersebut turut membolehkan mana-mana individu yang menunjukkan simptom jangkitan berkenaan untuk segera mendapatkan rawatan dan ujian klinikal.
Johorkini