BM | EN | 中文

Chong Wei yakin Rexy mampu lonjak kemampuan Malaysia

lee-chong-wei.jpg

Gambar Ehsan straitstimes.com

Advertisement

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Legenda badminton negara Lee Chong Wei yakin kehadiran semula bekas juara dunia dan pemenang pingat emas Olimpik Rexy Mainaky ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mampu membawa negara ke tahap lebih baik.

Chong Wei melihat usaha melantik Rexy sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan BAM itu sebagai langkah tepat kerana bekas atlet beregu lelaki Indonesia itu mempunyai pengalaman cukup luas.

Bekas perseorangan nombor satu dunia itu turut berpendapat Rexy adalah antara jurulatih terbaik dunia dan ini terbukti apabila dia berjaya meningkatkan prestasi pasukan Indonesia dan Thailand ketika berkhidmat di kedua-dua negara berkenaan.

Advertisement

“Saya fikir ini satu pilihan terbaik BAM lantik dan membawa Rexy semula sebagai jurulatih dan ia bagus untuk pasukan badminton kita kerana beliau adalah juara dunia dan pemenang pingat emas Olimpik.

“Saya fikir beliau boleh bekerjasama dengan semua jurulatih dan itu sangat penting,” katanya kepada pemberita pada majlis makan tengah hari bersama Lembaga Pelancongan Sabah selepas dilantik sebagai Duta Pelancongan Sabah di Kota Kinabalu semalam.

Isnin lepas, BAM mengumumkan Rexy akan melapor diri di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada 1 Dis ini dan akan bekerjasama rapat dengan Pengarah Kejurulatihan Wong Choong Hann.

Advertisement

Pakar beregu berusia 53 tahun itu diberi tugas membimbing dan meningkatkan prestasi pemain beregu skuad kebangsaan.

Rexy yang merupakan ketua jurulatih Persatuan Badminton Thailand sejak 2017, sebelum ini merupakan jurulatih di bahagian beregu Malaysia bermula 2005 hingga 2012, sehingga berjaya menghasilkan gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang pernah mengungguli kedudukan teratas ranking beregu lelaki dunia.

Ketika zaman kegemilangannya sebagai pemain, Rexy bersama Ricky Subagja menjuarai Kejuaraan Dunia 1995 dan emas beregu lelaki Olimpik Atlanta 1996, selain memenangi tiga pingat emas Piala Dunia dan empat gelaran Piala Thomas antara 1994 hingga 2000.

Advertisement

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top