CHIN TONG -“PESAN KEPADA MEREKA, BALIK TANJUNG PIAI MENGUNDI”
Chin Tong ketika berucap

CHIN TONG -“PESAN KEPADA MEREKA, BALIK TANJUNG PIAI MENGUNDI”

PONTIAN, 14 OKT: Pengundi muda khususnya yang bermastautin di luar dari kawasan Tanjung Piai perlu sentiasa diperingatkan untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen itu, 16 November nanti.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor, Liew Chin Tong berkata, kebanyakan mereka bekerja di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Singapura.

Katanya, peratusan keluar mengundi mereka yang berada di luar Tanjung Piai sukar dijangka.

“Kita perlu lakukan ‘reality check’. PRK kali ini bukan mudah untuk kita menang. Mungkin salah satu PRK yang sangat sukar.

“Faktor pertama, pada pilihanraya umum ke-14, 85 peratus pengundi keluar. Ramai dari mereka ada yang bermastautin di Singapura, Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

“Dalam PRK (Tanjung Piai), kita tak pasti,” katanya pada majlis taklimat umum dan suaikenal jentera PRK P165 Tanjung Piai di Kukup Gold Resort, kelmarin.

Justeru itu, tambahnya, selain daripada kempen di peringkat akar umbi, antara faktor terpenting adalah usaha semua pihak untuk memastikan pengundi berdaftar di kawasan Tanjung Piai yang berada di luar kawasan untuk pulang mengundi.

“Kita mesti memastikan mereka yang berada disini akan memanggil anak dan cucu mereka pulang mengundi,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Pakatan Harapan (PH) perlu melakukan gerak kerja kempen bersasar.

“Ini berikutan kehadiran ramai ‘pelancong politik’ yang akan datang dari seluruh negara. Paling penting kita semua kena ingat. Berapa ramai pun dari kita yang turun (ke Tanjung Piai) yang mengundi adalah orang tempatan. Yang mengundi adalah mereka yang ada undi.

“Jadi, berapa banyak program yang kita usahakan pun, kalau hanya sampai kepada ‘pelancong pilihanraya’ ia takkan menarik undi. Program mesti sampai kepada orang tempatan, kepada pengundi,” katanya lagi.

 

JohorKini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )