BM | EN | 中文

CERITA HEBAT ORANG MELAYU NAIK HAJI

keluarga-melambai-ahli-jemaah-haji-zaman-dahulu.jpg
Advertisement

Oleh: Mesin Cetak

Hujung Ogos 1885, seorang jemaah Haji, Abdul Al-Ghaffur diarah meninggalkan Mekah. Alasannya, lelaki itu dipercayai sebahagian dari satu konspirasi yang menyebabkan kehilangan batu bersurat. Lelaki itu akur, hasrat mengkaji rahsia ibadat haji tidak kesampaian.

Abdul Al-Ghaffur, nama samaran bagi Christiaan Snouck Hurgronje, seorang Belanda ‘pakar’ dalam bahasa Arab dan agama Islam. Bagi pengkaji sejarah Islam di Tanah Melayu, Hurgronje bukan nama asing. Dia Penasihat Hal Ehwal Arab dan Pribumi Hindia Timur Belanda sejak 15 Mac 1891.

Advertisement

Sampainya Hurgronje di Mekah atas bantuan salah seorang Duta Belanda, J.A Kruyt, sebelum kemudiannya dia juga diarah keluar dari Mekah. Atas semangat kolonial, Hurgronje perlu tahu cerita dan peristiwa ibadah haji. Cara berfikir orang Melayu Islam Nusantara perlu dihadam betul-betul. Tujuan akhirnya, perluaskan pengaruh politik Belanda di nusantara.

Walau tidak sempat ikut ibadah haji, Hurgronje telah menulis 8 tulisan berdasarkan pemerhatiannya di Mekah. Tulisannya diterbitkan pada 1888-1889 berjudul ‘Mekka in the Latter Part of the 19th Century’.

Namun, laporan bertulis Hurgronje songsang – lelaki ini memerihalkan gejala gay dan lesbian berleluasa di Mekah tanpa sebarang sumber. Apatah lagi perkara seksualiti sangat eksklusif pada waktu itu dan Hurgronje di Mekah hanya dalam masa yang singkat. Pandangan ini dinilai penuh prasangka oleh umat Islam, terutama komuniti Melayu yang tinggal di Mekah waktu itu.

Advertisement

Ya, pada waktu itu orang Melayu sudah sampai ke Mekah. Ketika itu, sudah ada ulama anak Melayu di Kota Mekah. Salah satunya Wan Syaikh Ahmad, termasyur di Kota Mekah kerana ilmunya – mengarang 160 judul tulisan merangkumi perubatan, sejarah dan politik yang sebahagiannya masih dicetak hingga sekarang.

Syakh Wan Ahmad juga mengusahakan kerja pencetakan – mencetak kitab-kitab Arab dan Melayu. Atas usaha ini, ilmu kian tersebar ke alam Melayu.

Orang Melayu bukanlah baru di Mekah. Tidak mudah ditipu dengan laporan penyamar Belanda. Memang sukar untuk pastikan bila orang Melayu terawal belayar tiba di Mekah. Tapi dicatatkan dalam sejarah, orang Melayu pertama sampai ke Mekah ialah Sultan Melaka – Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488).

Advertisement

Catatan lebih jelas lagi ialah pada abad 16, pemergian Hamzah Fansuri yang juga belayar di beberapa pusat pengajian Islam di Semenanjung tanah Arab. Bukti lain awalnya Melayu sampai ke Mekah ialah pemergian Abdul Rauf Singkel pada 1643 – selain menunaikan haji, Abdul Rauf juga menuntut selama Sembilan belas tahun di merata pusat pengajian Semenanjung Tanah Arab.

Mekah, sesungguhnya tidak asing dengan kita. Di Johor, “Haji” sangat terkenal di daerah Pontian. Berdekatan Kampung Jawa – 9 batu dari utara Pontian, sekitar kanan dan kiri Sungai Benut terdapat banyak parit (perkampungan kecil) yang dapat status ‘haji’ – Parit Haji Ali, Parit Haji Alias, Parit Haji Omar, Parit Haji Dahlan, Parit Haji Mohd Damin.

Dalam catatan Arnold Wright, masyarakat Jawa yang terbentuk di Pontian kebanyakannya bekerja di Estet Ayer Masin keluarga Al-Sagoff sebelum bekerja di ladang orang Eropah semasa era kolonial. Penduduk yang bekerja di estet ini diikat kontrak dengan Al-Sagoff – syaratnya mereka perlu bekerja dalam masa yang ditentukan sehingga diberi perbelanjaan ke Mekah (tunaikan haji).

Advertisement

Kira-kira, inilah peluang untuk masyarakat Islam di sini menunaikan haji waktu itu. Walaupun diperah dengan sistem buruh-hamba, ibadah Haji jadi mata air pengetahuan dan kesedaran orang Melayu tentang hubungan hamba-Tuhan, bukan hamba-tuan.

Selamat menunaikan ibadah haji dan selamat Aidiladha.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top