BM | EN | 中文

Caj air Mac: Ranhill SAJ beri diskaun 50 peratus kepada pelanggan B40

saj-ranhill.jpg

JOHOR BAHRU, 22 MAC: Ranhill SAJ Sdn Bhd akan memberikan diskaun sebanyak 50 peratus bagi caj penggunaan air bulan ini, kepada pelanggannya daripada golongan B40.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Nor Ifuan Md Nor memaklumkan langkah itu adalah usaha pihaknya membantu pelanggan daripada golongan berkenaan, dalam menangani situasi jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu katanya, pihaknya juga akan menangguhkan penguatkuasaan pemotongan air bagi bil tertunggak berkuatkuasa hari ini hingga 30 April, bagi memastikan tiada pelanggan yang terputus bekalan air.

“Para pelanggan yang baru sahaja mengalami pemotongan bekalan air dalam tempoh ini boleh menghubungi Pusat Maklumat Ranhill SAJ di talian 1-800-88-7474, untuk membuat semakan ke atas akaun mereka untuk penyambungan perkhidmatan,” katanya, lapor Bernama.

Nor Ifuan berkata semua perkhidmatan melalui kaunter Ranhill SAJ juga dihentikan buat sementara, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan pelanggan boleh membuat pembayaran bil secara dalam talian dari rumah.

Pelanggan yang memerlukan nasihat dan bantuan boleh menghubungi Ranhill SAJ melalui e-mel di customer.care@ranhill.com.my

Orang ramai juga diminta untuk menggunakan air dengan berhemah dan menjimatkan air.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top