BM | EN | 中文

Cadangan wujud jawatan jurubahasa isyarat di agensi kerajaan

sign-language-bahasa-isyarat.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang untuk mewujudkan satu perjawatan jurubahasa isyarat di setiap agensi kerajaan.

Timbalan Menterinya Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata cadangan itu bagi memenuhi keperluan golongan orang kurang upaya (OKU) pendengaran ketika berurusan di agensi kerajaan.

“Sebagai permulaan, kementerian berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan ini, dengan sekurang-kurangnya satu jawatan jurubahasa isyarat diwujudkan.

Advertisement

“Usaha ini akan menjadi dorongan untuk mencapai dasar satu peratus OKU dalam sektor awam dan mengurangkan masalah komunikasi (melibatkan OKU pendengaran),” katanya ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Chan Ming Kai (PH-Alor Setar) mengenai kesedian kementerian menambah peruntukan bagi geran kepada Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dan menempatkan lebih ramai jurubahasa isyarat untuk urusan rasmi.

Mengenai geran yang disalurkan kepada MDF katanya, sebanyak RM2 juta telah diberikan kepada NGO itu, bagi tempoh 2014 sehingga 2019.

Advertisement

Jelas Siti Zailah, dana itu termasuk geran pentadbiran dan sagu hati kepada sukarelawan jurubahasa.

Sementara itu Kementerian Pendidikan merancang untuk melaksanakan pengambilan guru pendidikan khas secara kontrak pada tahun 2021 sekiranya terdapat keperluan, kata Timbalan Menterinya Senator Datuk Dr Mah Hang Soon.

Beliau berkata ia adalah antara usaha KPM terhadap Murid Berkeperluan Khas (MPK) termasuklah dalam menyediakan guru pendidikan khas yang berkualiti dengan jumlah guru yang mencukupi.

Advertisement

Jelasnya, sehingga 30 Jun lepas, jumlah MPK adalah seramai 92,755 orang yang terdiri daripada Sekolah Pendidikan Khas (SPK), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Program Pendidikan Inklusif (PPI), manakala jumlah keseluruhan guru pendidikan khas pula adalah seramai 16,492 orang.

“Bagi memenuhi keperluan guru pendidikan khas, KPM meneruskan pengambilan pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dengan opsyen pendidikan khas di Institusi Pendidikan Guru.

“Pada tahun 2020 seramai 180 pelajar PISMP dengan opsyen pendidikan khas telah ditawarkan tempat. Dengan ini jumlah bekalan guru baharu untuk tahun 2022 hingga 2025 adalah seramai 516 orang.

Advertisement

“Di samping itu, pada tahun 2020, KPM juga menjalankan Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO) pendidikan khas kepada 360 orang guru arus perdana,” katanya.

Beliau menjawab soalan Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang meminta KPM menyatakan jumlah murid berkeperluan khas, jumlah guru pendidikan khas dan rancangan untuk menambah bilangan guru pendidikan khas.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top