BM | EN | 中文

Cadangan tarik pengecualian cukai keatas pendapatan sumber asing tidak adil – Adun Bekok

s-ramakrishnan.jpg

SEGAMAT, 21 DIS: Cadangan dalam Bajet 2022 untuk menarik semula pengecualian cukai ke atas pendapatan sumber asing adalah tidak adil, kata Adun Bekok, S Ramakrishnan.

Katanya, cadangan itu menimbulkan kekecohan dalam kalangan syarikat dan individu yang mempunyai pelaburan besar di luar negara.

Katanya, mulai 1 Januari 2022, pengecualian cukai ke atas pendapatan sumber asing yang diterima di Malaysia di bawah Perenggan 28, Jadual 6 Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, akan ditarik balik.

“Ini bermakna pendapatan sumber asing sama ada daripada perniagaan atau pekerjaan atau dalam bentuk dividen, royalti, faedah atau sewa yang dihantar ke negara ini akan tertakluk kepada cukai Malaysia.

“Keputusan mengenakan cukai kepada pekerja Malaysia apabila mereka menghantar balik imbuhan mereka ke Malaysia adalah dasar yang tidak adil.

“Adakah kerajaan membuat sebarang rundingan dengan pekerja yang bekerja di luar negara sebelum membuat keputusan ini.

“Keputusan ini menguntungkan tabung persekutuan manakala pengirim wang dan keluarga tempatan Johor yang bergantung kepada gaji akan menderita,” kata Ramakrishnan dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Katanya, Perjanjian Percukaian Berganda (DTA) antara Malaysia dan Singapura menyatakan dengan jelas bahawa gaji dan upah hanya boleh dikenakan cukai di negeri orang itu bekerja.

“Bagaimanapun, timbalan menteri telah menjawab dengan mengatakan bahawa keputusan terbaharu mengenakan cukai pendapatan sumber asing tidak bercanggah dengan DTA kerana kerajaan akan mengenakan cukai “kiriman wang”.

“Pekerja yang kiriman wang dari luar negara akan dikenakan cukai walaupun ia mungkin wang titik peluh buruh Malaysia di luar negara.

“Keputusan ini, memaksa rakyat Malaysia yang sedang bekerja di Singapura perlu membayar cukai kepada kerajaan Malaysia walaupun pendapatan mereka telah dikenakan cukai di Singapura.

“Jika mereka membawa balik simpanan, tabung persaraan, pendapatan bulanan dan lain-lain, pekerja terpaksa membayar cukai dua kali.

“Pada masa pandemik Covid-19 sekarang kerajaan perlu menyokong pekerja bukan menyusahkan mereka.

“Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura sebenarya, tiada dapat apa-apa faedah dari kerajaan Malaysia, sebab mereka kerja di luar negara,” katanya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top