JOHOR BAHRU, 22 OGOS: Jawatankuasa Khas Mengenai Tambak Johor hari ini dilaporkan bersetuju untuk memperhalusi cadangan melebar atau memanjangkan Tambak Johor bagi menyelesaikan isu kesesakan laluan di sana, menurut laporan Bernama.
Perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat pertama jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), mesyuarat jawatankuasa tersebut semalam turut bersetuju meniliti syor supaya laluan pejalan kaki berbumbung dibina di Tambak Johor.
Antara syor lain yang akan turut diperhalusi ialah cadangan membina laluan kapal dan membesarkan kompleks pintu masuk sedia.
Kenyataan tersebut turut menyatakan bahawa mesyuarat semalam turut memutuskan agar KDN menjadi pengurus bangunan bagi Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
“Mesyuarat juga bersetuju mewujudkan jawatankuasa kecil dianggotai oleh beberapa menteri serta wakil kerajaan negeri Johor, yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri untuk menyusuli dan memperhalusi inisiatif-inisiatif yang disyorkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor,” kenyataan tersebut berbunyi.
Dalam laporan sama, KDN turut berkata beberapa inisiatif segera telah dipertimbang dan diperakukan bagi menangani kesesakan di BSI dan KSAB antaranya meluluskan peruntukan khas dan tambahan bagi kedua-dua pintu masuk itu.
Jawatankuasa itu juga akan mengkaji cadangan penubuhan satu badan tunggal bagi mengawal sempadan negara dan pintu-pintu masuk termasuk pelabuhan-pelabuhan.
“Inisiatif segera yang lain ialah mengecualikan dasar kawalan pengisian bagi perjawatan di pintu masuk kepada pengisian penuh dan mengadakan kajian bagi mengenal pasti isu, cabaran dan hala tuju untuk keperluan kapasiti penggunaan masa hadapan.”
Sumber: Bernama