KULAI, 3 JAN: Rancangan membina semula laluan landasan keretapi laju (HSR) ke Johor Bahru hanya muslihat politik kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengaburi mata rakyat.
Adun Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse berkata cadangan itu dijangka tidak dapat dilaksanakan secara ekonomi kerana kerajaan PN tidak memilki keazaman untuk menjayakannya.
Tambah beliau, keadaan kerajaan yang lemah dan tak stabil juga merupakan penyebab HSR ‘mati sebelum lahir’.
“Kenyataan bahawa HSR ‘mati sebelum lahir’ tidak mengejutkan kerana ia adalah salah satu rahsia terburuk diketahui.
“Banyak agensi berita termasuk The Edge melaporkan kemungkinan ini sejak awal November.
“Ada yang berpendapat ketegasan kerajaan untuk menghentikan projek ini, ada yang memberi ulasan bagaimana kita akhirnya mengalami suasana keributan ini.
“”HSR sebenarnya boleh menjadi pemangkin ekonomi yang hebat sekiranya ia dikendalikan dengan baik sejak awal.
“Pada akhirnya, apa yang kita perolehi adalah pampasan yang perlu dibayar sebanyak RM300 juta atau lebih,” kata Jimmy dalam satu kenyataan.
Tambah beliau pembatalan HSR membuktikan kerajaan lemah dan tidak stabil, menyebabkan negara lain cukup berhati-hati untuk berunding dan melakukan sebarang perjanjian jangka panjang dengan Malaysia.
Dalam pada itu katanya, suasana politik yang tidak stabil semakin mengikis keyakinan negara lain dan pelabur terhadap Malaysia seperti yang ditunjukkan oleh kejatuhan FDI dan penurunan penilaian Fitch.
“HSR sebagai contoh terbaru, yang saya percaya akan banyak lagi yang akan diikuti.
“HSR adalah ‘peluang yang terlepas’ bukan hanya untuk Johor tetapi Malaysia.
“Tetapi lebih penting lagi, ia menunjukkan bahaya kudeta (rampasan kuasa) politik melemahkan negara secara keseluruhan,” ujarnya lagi.
Johorkini